Remaja perempuan tikam ibu saudara direman tiga hari

Laporan Sinar Harian pada Jumaat mengenai remaja 14 tahun ditahan menikam ibu saudaranya dengan pisau.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat mengenai remaja 14 tahun ditahan menikam ibu saudaranya dengan pisau.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Remaja perempuan yang ditahan kerana menikam ibu saudaranya dalam kejadian di sebuah unit flat di Jalan Perai Jaya, Perai di sini semalam direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihak polis mendapat perintah reman daripada Mahkamah Majistret di sini pagi tadi yang membenarkan suspek berumur 14 tahun itu direman hingga 6 Januari.

"Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti punca sebenar kejadian itu sehingga suspek bertindak menikam ibu saudaranya," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata.

Semalam, media melaporkan seorang wanita mengalami kecederaan di perut selepas ditikam dengan pisau oleh anak saudaranya ketika berlaku pertengkaran mulut antara mereka dalam kejadian di sebuah flat di Jalan Perai Jaya, Perai di sini.

Pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 11.30 pagi dan difahamkan, ujian air kencing mendapati remaja itu turut positif dadah. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!