Parti politik perlu berpegang pada Rukun Negara
SHAH ALAM - Setiap parti politik perlu menjadikan Rukun Negara sebagai azimat dalam mendasari perjuangan parti.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, parti politik seharusnya menjadi pelengkap dan rujukan dalam memacu negara ke arah lebih baik.
Menurutnya, segala bermula daripada parti politik yang menjadi tunggak kepada harapan rakyat Malaysia.
“Malaysia telah lama merdeka sudah tentunya ahli politik dan rakyat matang dalam menguruskan mana-mana parti politik.
“Kita mungkin akan perselisihan pendapat dalam sesuatu isu, namun ia bukan tiket untuk menggadaikan maruah, bangsa mahupun integriti,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Tambah beliau, dalam situasi rakyat berdepan masalah kelangsungan hidup, sudah tentu rakyat menginginkan kesejahteraan kemakmuran ekonomi.
Jelas Hamdan Daniel, hal berkenaan hanya dapat dicapai apabila negara berjaya meraih kestabilan politik dengan ahlinya mengamalkan sikap kematangan dalam berbahas sesuatu perkara.
“Di sini kita mengharapkan kematangan berpolitik menjadi keutamaan dalam menjana ekonomi dan menjamin keharmonian rakyat.
“Sumpah dan lafaz ketika memegang tampuk kepimpinan seharusnya terus tersemat di hati dan selalu mendahului kepentingan awam lebih daripada peribadi.
“Boleh sahaja berpolitik tetapi jangan lupakan rakyat sebagai pemerhati yang mahu melihat semua badan politik di Malaysia memberikan nilai tambah dalam kehidupan mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!