Muhammad Bahri mahir buat bot fiber pada usia muda
KUALA KRAI - Kebolehan membuat bot fiber pada usia muda menjadikan pemuda dari Kampung Dabong, Kuala Krai ini dikenali dalam kalangan pengusaha pelancongan di negara ini.
Kebolehan itu dipelajari Muhammad Bahri Basri, 20, melalui bapanya, Basri Mahmud, 53, yang juga antara pembuat bot terkenal di Kelantan.
Muhammad Bahri mula membuat bot lebih 10 tahun lalu dan kini sudah mahir malah menerima banyak tempahan daripada pelanggan termasuk di daerah yang selalu dilanda banjir.
"Biasanya bot untuk sektor pelancongan lebih panjang iaitu kira-kira sembilan meter berbanding bot yang digunakan di kawasan banjir," katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya lagi, ukuran bot yang biasa ditempah untuk meredah banjir ialah antara lima hingga tujuh meter menggunakan enjin atau pendayung bergantung pada permintaan pelanggan.
Anak kedua daripada lima beradik itu juga mengakui pada mulanya agak sukar untuk membina bot berkenaan namun alah bisa, tegal biasa dan kini sudah mahir sepenuhnya.
Muhammad Bahri turut berkongsi proses pembuatan bot menggunakan bahan penting iaitu resin, asid dan fiber sebelum dimasukkan ke dalam acuan khas.
"Bot pelancongan biasanya dipasang 'tulang' daripada kayu pada bahagian tepi supaya lebih kukuh dan kesemua bot diuji menggunakan penimbang air dan dibawa ke sungai," katanya.
Jelasnya lagi, bot fiber jauh lebih ringan berbanding bot kayu dan tahan lebih 10 tahun selain mudah dibaiki.
Membuat bot katanya, mengambil masa kira-kira seminggu termasuk proses pengeringan cat.
Dalam pada itu, Muhammad Bahri memberitahu, banyak menerima permintaan bot fiber pada musim tengkujuh terutama di daerah Tumpat, Pasir Mas, Rantau Panjang dan Kuala Krai.
Jelasnya lagi, kini tempahan lebih tinggi kerana ramai penduduk mula menyimpan bot di setiap rumah bagi memudahkan mereka berpindah apabila banjir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!