UMNO Selangor akur keputusan tidak teruskan himpunan solidariti Najib
SHAH ALAM - UMNO Selangor akur keputusan parti untuk tidak meneruskan himpunan solidariti buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin ini.
UMNO Selangor dalam satu kenyataan berkata, pihaknya patuh dengan saranan untuk menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam menggunakan saluran perundangan ditetapkan.
Menurutnya, walaupun tidak meneruskan himpunan itu, UMNO akan terus menyokong bekas presidennya menuntut keadilan.
"UMNO Selangor akan terus menyokong segala usaha beliau (Najib) untuk mendapatkan hak serta keadilan yang sewajarnya.
"Jasa beliau kepada rakyat dan negara tidak dapat disangkal," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Menerusi kenyataan sama, UMNO Selangor turut merakamkan penghargaan kepada 22 UMNO bahagian dan ahli akar umbi di Selangor yang menunjukkan komitmen serta memberi sokongan moral kepada Najib.
Pada Jumaat, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan UMNO tidak akan meneruskan perhimpunan solidariti Najib pada Isnin.
Beliau menjelaskan, pihaknya menaruh sepenuh keyakinan atas keihsanan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam memberikan keadilan penuh kepada bekas Presiden parti itu.
Sebelum ini, tular memo Pas akan mengadakan himpunan Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan diadakan di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman Putrajaya, pada jam 9 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!