Raja Muda Perlis seru lebih banyak syarikat korporat santuni rakyat

Tuanku Syed Faizuddin bersama Farah (dua dari kiri), Syaiful Rizal (empat dari kanan) bergambar dengan penerima sumbangan bakul rezeki pada Program Jelajah Sinar Untuk Rakyat pada Sabtu.
Tuanku Syed Faizuddin bersama Farah (dua dari kiri), Syaiful Rizal (empat dari kanan) bergambar dengan penerima sumbangan bakul rezeki pada Program Jelajah Sinar Untuk Rakyat pada Sabtu.
A
A
A

BESERI - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru lebih banyak syarikat korporat dan pertubuhan mengikut jejak Sinar Harian serta Yayasan Bank Rakyat turun padang membantu rakyat yang memerlukan.

Baginda bertitah, program Jelajah Sinar Untuk Rakyat membuktikan keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat bukan hanya tanggungjawab individu atau organisasi, bahkan juga tanggungjawab bersama sebagai satu komuniti yang saling menyokong.

"Saya amat gembira apabila tirai tahun 2025 yang baru dibuka empat hari ini, kita meraikannya dengan program komuniti yang bukan sahaja mengeratkan silaturahim rakyat, bahkan turut memanjangkan bantuan kepada golongan memerlukan," titah baginda pada Sabtu.

Tuanku Syed Faizuddin
Tuanku Syed Faizuddin

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berkenan merasmikan program Jelajah Sinar Untuk Rakyat dan menyampaikan sumbangan kepada 200 penduduk setempat di Masjid Jamek Beseri di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Harian, Farah Hussamuddin dan Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Tuanku Syed Faizuddin berkenan merasmikan program Jelajah Sinar Untuk Rakyat dan menyampaikan sumbangan kepada 200 penduduk setempat di Masjid Jamek Beseri pada Sabtu.
Tuanku Syed Faizuddin berkenan merasmikan program Jelajah Sinar Untuk Rakyat dan menyampaikan sumbangan kepada 200 penduduk setempat di Masjid Jamek Beseri pada Sabtu.

Menurut baginda, ceramah motivasi yang diselitkan dalam program tersebut kepada pelajar-pelajar kurang berkemampuan adalah satu usaha murni bagi meningkatkan keyakinan serta membolehkan pewaris negara ini meneroka potensi diri masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga berharap program-program yang membantu menaik taraf ekonomi penduduk dan merancakkan pelancongan lokal di Perlis boleh diadakan serta dipromosikan oleh Sinar Harian dan Yayasan Bank Rakyat.

"Inisiatif memperbaiki taraf hidup rakyat ibarat memberi joran untuk memancing, bukan semata-mata memberikan ikan wajar diperbanyakkan," titah baginda lagi.

Farah
Farah

Sementara itu, Farah berkata, program ini bermakna buat Sinar Harian kerana ia bukan sahaja diadakan bagi menghargai para pembaca di luar Lembah Klang, malah lebih istimewa diserikan dengan pelbagai pengisian bermakna.

Menurutnya, selain beberapa rumah yang menjadi persinggahan pasukan kayuhan Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), program ini turut menyediakan sumbangan bakul rezeki untuk 200 penerima.

"Setiap bakul rezeki yang mempunyai barangan keperluan bernilai RM150 itu, diharap sedikit sebanyak dapat meringankan keperluan golongan kurang berkemampuan dalam menghidangkan rezeki buat keluarga di atas meja rumah," katanya.

Farah berkata, kerjasama Yayasan Bank Rakyat selaku penaia utama program Jelajah Sinar Untuk Rakyat sangat dihargai kerana tidak mudah untuk menganjurkannya.

Jelasnya, usaha murni yayasan tersebut perlu terus dicontohi lebih banyak syarikat korporat untuk membantu dan memperkasakan rakyat jelata.

Penghargaan turut diberikan kepada agensi-agensi di Perlis seperti MAIPs, Jabatan Kerja Raya (JKR), Institut Kemahiran Mara (IKM) termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menghulurkan bantuan menjayakan program tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!