Rumah terbakar: Dua beradik buntu hadapi STPM, SPM
JOHOR BAHRU - Dua beradik yang masing-masing calon peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) buntu setelah rumah yang mereka diami musnah dalam kebakaran di Kampung Seri Jaya, Skudai di sini pada Jumaat malam.
Kejadian yang dipercayai berlaku sekitar jam 9.40 malam itu memusnahkan hampir kesemua peralatan pembelajaran mereka termasuk buku, komputer riba dan MyKad.
Calon STPM, Mohamad Akmal Muqri Mohamad Farok, 20, berkata, dia masih tidak percaya dengan kejadian yang berlaku hampir dengan tempoh peperiksaan STPM yang bermula Isnin ini.
Bagaimanapun katanya, dia tetap berazam untuk menduduki peperiksaan tersebut dan cuba melakukan yang terbaik.
"Kebakaran mula berlaku dalam 9.30 (malam) macam tu dan masa kebakaran hanya ada tiga orang di rumah iaitu adik, nenek dan juga seorang sepupu.
"Tapi memang sedihlah sebab komputer riba, buku dan kalkulator habis terbakar," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) MK Aminuddin Baki itu lagi.
Adiknya, Mohamad Lutfi Mohamad Farok, 18, yang kini menduduki peperiksaan SPM berkata, dia hanya menyedari rumah berkenaan terbakar apabila terdengar bunyi letupan dan jeritan neneknya.
Katanya, biarpun cuba memadamkan kebakaran yang berlaku dengan air, namun api dilihat semakin cepat merebak.
"Masa kebakaran berlaku saya berada di bilik mak ayah dan tak perasan api mula marak sehinggalah nenek menjerit dan terdengar bunyi letupan.
"Api marak dengan cepat, kebanyakan peralatan sekolah semua terbakar. hanya tinggal baju tinggal sepasang sahaja.
"Tambah sedih apabila kad pengenalan dan kesemua dokumen menduduki peperiksaan turut terbakar dan untuk SPM Isnin ni saya perlu bawa salinan laporan polis," katanya.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Penguasa Bomba Kanan II Indra Sahrel A. Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan berkenaan pada jam 10 malam.
Katanya, sebaik menerima panggilan tersebut, satu pasukan keluaran operasi (PKO), melibatkan dua jentera fire rescue tender (FRT), satu unit jentera perhidmatan perawatan penyelamatan kecemasan (EMRS), tiga unit bermotor bomba (RIM) dan satu pacuan empat roda Triton serta 17 anggota dihantar ke lokasi dengan Komander Operasi Kanan, Timbalan Penguasa Bomba 1 Mohd Suhaimi Jamal.
"Setibanya, PKO di tempat kejadian 11 minit kemudian, didapati kebakaran melibatkan sebuah bangunan yang dijadikan empat rumah sewa, rumah pertama berkeluasan 30 x 70 x 8 kaki jenis kekal terbakar 40 peratus, rumah kedua (15 x 20 x 8 kaki jenis kekal terbakar 30 peratus), rumah ketiga (20 x 20 x 16 kaki jenis separuh kekal terbakar 60 peratus dan rumah keempat (10 x 20 x 8 kaki jenis kekal terbakar 5 peratus).
"PKO bertindak membuat pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula, dua aliran 200 kaki empat pancutan, air tangki dan pili bomba berhampiran sehingga selesai.
"Api berjaya dikawal pada jam 10.30 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.09 tengah malam," katanya.
Nasib dua beradik calon STPM dan SPM dapat perhatian JPN Johor
Dalam pada itu nasib dua beradik itu mendapat perhatian Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor.
Menurut Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin, pihaknya sudah pun mengadakan perbincangan dengan pihak JPN negeri bagi menyediakan kelengkapan serta setiap keperluan yang diperlukan kepada mereka bagi menghadapi kedua-dua peperiksaan berkenaan.
"Kita rasa sedihlah dengan apa yang berlaku pada calon-calon kita, ada dua calon rumah mereka terbakar.
"Kita juga dah adakan perbincangan dengan JPN Johor untuk adakan kelengkapan seperti pakaian, alat tulis dan yang penting kad pengenalan sementara kita akan bantu berterusanlah untuk kelengkapan peperiksaan," katanya ketika melawat rumah dua beradik berkenaan pada Jumaat malam.
Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Mohd Hanafi Samad.
Kebakaran yang berlaku sekitar jam 9.40 malam Jumaat itu, menyebabkan dua beradik berkenaan termasuk keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila blok rumah sewa didiami musnah antara 50 hingga 60 peratus.
Sementara itu, Aznan berkata, bantuan dari segi bimbingan kaunseling juga akan diberikan oleh guru dua beradik itu supaya mereka tidak rasa tertekan ditimpa ujian berkenaan.
"Dari semasa ke semasa di peringkat jabatan kita juga bagi kaunseling termasuk kepada guru-guru kerana paling dekat dengan mereka, mengajar mereka dan hadir berikan sokongan kepada mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!