Kereta masuk gaung: Mangsa nahas dalam perjalanan ke kuil

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta itu selepas terjatuh ke dalam gaung di Kilometer 152.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada Sabtu. Foto PDRM
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta itu selepas terjatuh ke dalam gaung di Kilometer 152.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada Sabtu. Foto PDRM
A
A
A

MARAN - Perjalanan empat wanita dari Selangor ke kuil bertukar tragedi selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung di Kilometer (KM) 152.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, dua penumpang belakang kereta jenis Nissan Almera iaitu V Kohmathy, 61, beralamat Taman Banting Mewah, dan K Vasanthy, 60, beralamat Taman Kristal 2, Klang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, pemandu kereta iaitu wanita berusia 33 tahun dan penumpang hadapan, wanita berusia 24 tahun mengalami kecederaan parah.

"Siasatan awal yang dijalankan mendapati kereta yang dipandu wanita itu dalam perjalanan daripada Banting, Selangor hendak ke Kuil Sri Marathandavar di Maran.

"Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba kereta yang dipandu telah hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan dan terjatuh ke dalam gaung," katanya yang turut mengesahkan kesemua mangsa memiliki hubungan persaudaraan.

Tambah beliau, mayat mangsa akan dibedah siasat di Hospital Jengka, manakala dua lagi mangsa yang parah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk menerima rawatan.

"Kenderaan terlibat akan menjalani pemeriksaan Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) dan saksi bebas dikesan untuk membantu siasatan," tambahnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!