[VIDEO] Jelajah Sinar Untuk Rakyat selami kehidupan golongan asnaf
BESERI - Program Jelajah Sinar Untuk Rakyat merupakan salah satu cara syarikat korporat tampil untuk membantu meringankan beban golongan yang memerlukan.
Pengurus Jabatan Program Yayasan Bank Rakyat, Muhammad Khalil Kader Mydin berkata, melalui program tersebut secara tidak langsung dapat melihat dan menyelami kehidupan golongan asnaf yang sangat memerlukan bantuan.
"Kadang-kala mereka terlepas daripada menerima bantuan atau menerima bantuan tetapi tidak mencukupi untuk menampung kehidupan seharian.
"Ini adalah peranan kita sebagai agensi swasta untuk membantu mereka yang memerlukan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Program Jelajah Sinar Untuk Rakyat yang disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Masjid Jamek Beseri, dekat sini.
Muhammad Khalil berkata, program tersebut adalah kerjasama pertama bagi tahun 2025 yang diadakan oleh Yayasan Bank Rakyat bersama Sinar Harian.
Jelasnya, penghargaan juga diberikan kepada akhbar ini kerana sudi bekerjasama dengan pihaknya dalam menjelajah rumah-rumah asnaf untuk memberi bantuan serta menyediakan program kepada pelajar-pelajar di kawasan Perlis, terutama di Berseri.
"Kami ingin mengucapkan terima kasih banyak-banyak dan semoga program ini akan menjadi lebih baik pada masa akan datang.
"Kami akan berbincang dengan pihak pengurusan mengenai bagaimana kita boleh membantu lagi dan terus menyantuni asnaf dengan memberikan bakul makanan," ujarnya lagi.
Tambah beliau, program ini adalah salah satu daripada program di bawah Yayasan Bank Rakyat untuk membantu komuniti setempat di seluruh Malaysia.
"Kami akan terus membantu lagi. Insya-ALLAH, saya nampak ada peluang untuk bekerjasama lagi pada masa akan datang.
"Harapan kami adalah semoga program ini bukan tamat di sini tetapi akan dapat diteruskan pada masa akan datang," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!