Pemuda Amanah diarah buat laporan polis terhadap Ahmad Fadhli

Mohd Hasbie
Mohd Hasbie
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) di seluruh negara diarah segera membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Hasbie Muda berkata, ia susulan hantaran berbaur sindiran dimuat naik di Facebook oleh Ahmad Fadhli yang didakwa menghina institusi diraja.

“Pemuda Amanah Nasional memandang serius kenyataan Ahmad Fadhli yang dianggap menghina institusi diraja. Sebagai rakyat Malaysia, menjadi tanggungjawab semua untuk mempertahankan kedaulatan institusi diraja yang menjadi tonggak perpaduan.

“Tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan tiada pihak sewenang-wenangnya merendahkan martabat institusi diraja.

“Pemuda Amanah berdiri teguh mempertahankan kehormatan dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini dilaporkan, UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan pada Isnin ini yang bertujuan menyatakan solidariti terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu Titah Adendum.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti berkenaan akur kepada segala saranan titah Seri Paduka agar menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, untuk menggunakan saluran perundangan ditetapkan dengan mengemukakan rayuan dalam perkara dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Susulan itu, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas berkongsi satu hantaran berbentuk kiasan dikaitkan oleh pelbagai pihak dengan keputusan UMNO membatalkan himpunan solidariti tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kiasan Ahmad Fadhli itu berbunyi 'disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban'.

Walaupun tidak menyatakan dengan jelas hantaran berkenaan ditujukan kepada siapa, beberapa ahli Parlimen kerajaan mendakwa Ahmad Fadhli seolah-olah menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!