'Tun Daim tidak akan komen kalau tiada sumber sahih'

Mohd Redzuan
Mohd Redzuan
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kenyataan Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berhubung laporan terdapat menteri Kabinet yang angkuh dan sombong ada benarnya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, Daim tidak akan mengeluarkan komen seperti itu sekiranya tiada sumber sahih dan boleh dipercayai.

Menurutnya, sekiranya prestasi penilaian dibuat ke arah ketidakpuasan hati rakyat, maka wajar sekiranya dilaksanakan pertukaran demi untuk kemajuan dan pembangunan negara.

"Sama ada seseorang menteri itu bersifat angkuh atau sebaliknya, rakyat yang boleh menilai. Jika ia memberi kemajuan kepada negara dan memberikan impak tadbir urus yang lebih mesra kepada rakyat, bagi saya tidak salah (tukar) dan mungkin ada kebenarannya kenyataan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Transformasi Keusahawanan Koperasi Sekolah Zon Selatan 2020 di Hotel Siwss Garden di sini malam tadi.

Mohd Redzuan mengulas kenyataan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan itu kelmarin, yang mendakwa rakyat tidak gembira dan mereka beranggapan terdapat sesetengah menteri yang angkuh.

Sementara itu, Mohd Redzuan yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka menafikan mengenai kerajaan campuran Pakatan Nasional yang dikatakan akan bermula di negeri tersebut.

Menurutnya, beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!