Tidak ada arahan untuk Najib mohon pengampunan baharu - Peguam
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tidak ada sebarang arahan untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat permohonan pengampunan baharu melibatkan kes yang dihadapinya ketika ini.
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya buat masa ini memberi tumpuan meneruskan permohonan berhubung semakan kehakiman melibatkan kewujudan Titah Adendum.
"Oleh kerana sekarang kami sedang meneruskan (permohonan berkaitan) Titah Adendum, yang merupakan sebahagian komponen daripada permohonan pengampunan.
"Jadi, kami tidak boleh mengemukakan permohonan pengampunan lain kerana kita akan dituduh melakukan prosiding berganda.
"Itu akan membahayakan permohonan semasa kami," katanya dalam sidang media di Townhall Rakyat Mencari Kebenaran bertajuk Pengampunan Diraja: Skop dan Halangan di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara pada Sabtu.
Hadir sama Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla; Peguam Syarie, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain dan Peguam, Chan Quin Er.
Istana Negara dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan cadangan supaya mana-mana banduan diberikan keampunan atau pengurangan hukuman, perlu dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan pada mesyuarat akan datang.
Istana Negara berkata, ini kerana kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Ujar Muhammad Shafee, bagaimanapun beliau sedia mempertimbang alternatif lain selepas mengetahui keputusan mahkamah berhubung permohonan terkini.
Menurutnya, ia termasuk mengemukakan permohonan pengampunan baharu kepada Lembaga Pengampunan.
"Selepas keputusan mahkamah (berhubung Titah Adendum) diputuskan, baru saya akan melihat pilihan lain," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!