Maritim Malaysia kesan baki dua bot bawa 300 PATI Myanmar di Langkawi
LANGKAWI - [DIKEMAS KINI] Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menemukan baki dua bot yang membawa hampir 300 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar di kawasan dua batu nautika Barat Daya Pulau Rebak, Langkawi pada lewat petang Jumaat.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, kesemua PATI dilaporkan dalam keadaan keletihan selepas dipercayai melalui perjalanan yang panjang tanpa bekalan makanan dan minuman yang mencukupi.
"Dianggarkan hampir 300 PATI berada di dalam bot terbabit dan pihak Maritim Malaysia telah memberi bantuan termasuk bekalan makanan dan minuman air bersih.
"Bot membawa PATI Myanmar tersebut kemudiannya diusir keluar sehingga ke perairan sempadan negara bagi meneruskan pelayaran," katanya dalam satu kenyataan media rasmi kepada pemberita pada Sabtu.
Sebelum ini, media melaporkan Maritim Malaysia telah mengaktifkan operasi bagi mengesan dua lagi bot membawa PATI yang menuju ke perairan negara.
Tindakan terbabit selepas penahanan 196 etnik Rohingya dari Myanmar yang mendarat di Pantai Teluk Yu,mukim Ayer Hangat, Langkawi.
Mohd Rosli memberitahu, pihaknya juga bekerjasama rapat dengan pihak penguat kuasa Thailand bagi mendapatkan maklumat tambahan mengenai pergerakan bot ini.
Katanya, Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim agar segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa ke talian kecemasan 999 atau menghubungi Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi di talian 04-9662750 atau 011-58925868.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!