‘Walaupun tidak ada kaki, abah sayang ummi sampai bila-bila’

Tular rakaman video ketika Che Aminah (kiri) memohon maaf kepada suaminya, Abdul Rashid (kanan) sebelum pembedahan kaki akibat kencing manis.
Tular rakaman video ketika Che Aminah (kiri) memohon maaf kepada suaminya, Abdul Rashid (kanan) sebelum pembedahan kaki akibat kencing manis.
A
A
A

SHAH ALAM - “Walaupun tidak ada kaki, abah sayang ummi sampai bila-bila.”

Demikian ucap seorang suami, Abdul Rashid Hussain, 56, kepada isterinya, Che Aminah Abdul Rahman, 56, yang menghidap sakit kencing manis sejak 10 tahun lalu.

Perkara tersebut dikongsikan anak mereka, Nur Zetty Afiqah Abdul Rashid, 23, yang memaklumkan ayahnya itu sangat setia menjaga emaknya sehingga akhirnya dia sendiri ditimpa sakit buah pinggang tahap tiga.

Nur Zetty Afiqah
Nur Zetty Afiqah

Menurutnya, apa yang lebih menyedikan ibunya terpaksa dibawa ke hospital kerana sakitnya semakin teruk dan perlukan pembedahan segera pemotongan kaki akibat kencing manis.

“Abah dengan ummi memang tidak pernah berenggang. Bayangkan bila ummi masuk hospital dan abah di rumah, mereka akan saling merindui sehingga mengigau atau mimpi sebut nama masing-masing.

“Disebabkan sakit abah (buah pinggang tahap tiga) ada situasi yang tidak mengizinkan mereka untuk berjumpa selalu, jadi ketika itu mereka hanya mampu video call. Selepas abah sakit pun dia sudah tidak mampu jaga ummi, jadi saya akan ambil alih tugasnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Abdul Rashid (kanan) setia menjaga isterinya Che Aminah yang menghidap kencing manis sejak 10 tahun lalu.
Abdul Rashid (kanan) setia menjaga isterinya Che Aminah yang menghidap kencing manis sejak 10 tahun lalu.

Menurut Nur Zetty Afiqah, sehari sebelum pembedahan berlangsung, Che Aminah memanggil semua anak-anaknya termasuk suami untuk meminta maaf.

Jelasnya, pembedahan yang berlangsung Disember lalu itu mempunyai risiko besar sehingga mampu meragut nyawa.

“Kebetulan abah juga masuk hospital sebab sakitnya, jadi waktu itulah ummi minta maaf dekat semua orang termasuk abah. Semua orang menangis malam itu, abah cakap dekat ummi selama perkahwinan 30 tahun, dia halalkan segalanya dan berjanji akan jaga anak-anak.

“ALLAH SWT Maha Besar, alhamdulillah selepas pembedahan berlangsung tujuh jam, ummi sekarang dalam keadaan baik.

Pasangan bahagia, Abdul Rashid (kiri) dan isterinya Che Aminah (kanan).
Pasangan bahagia, Abdul Rashid (kiri) dan isterinya Che Aminah (kanan).

“Bila semuanya sudah beransur pulih dan mereka boleh berjumpa, abah terus peluk kemudian cakap, jangan banyak fikir...walaupun tidak ada kaki dia akan sayang ummi sampai bila-bila, dia tidak kisah kena tolak kerusi roda ummi,” ujarnya.

Tambah Nur Zetty Afiqah, sebagai anak dia menjadi saksi cinta sejati emak dan ayahnya yang tidak pernah berkurangan itu.

“Nak tengok mereka gaduh depan anak pun tidak ada. Saya cuma doa semoga kedua-keduanya akan sihat seperti biasa dan berkekalan sehingga ke syurga,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!