Mia Sara tak ambil pusing

Mia Sara menyimpan impian untuk mengarahkan karya sendiri suatu hari nanti.
Mia Sara menyimpan impian untuk mengarahkan karya sendiri suatu hari nanti.
A
A
A

NAMA Mia Sara Shauki barangkali agak asing buat segelintir peminat industri seni.

Namun hakikatnya, si cantik berketurunan Melayu, Kadazan, Dusun dan Yunani itu sudah beraksi di depan kamera sejak berusia lima tahun lagi.

Hanya sejak enam tahun lalu, anak sulung kepada pelakon, pengarah, pelawak dan usahawan, Datuk Afdlin Shauki itu kembali aktif menerima tawaran lakonan.

Mula mencuri perhatian menerusi watak Alissa Rose D'Cruz lakonannya dalam siri Disney Channel Asia Wizards of Warna Walk (2019), wanita berusia 25 tahun itu tidak lagi menoleh ke belakang.

Meskipun dilihat mendapat laluan mudah untuk berada dalam industri seni, anak jati dari Kuala Lumpur itu tidak ambil pusing dengan sindiran halus yang dilemparkan kepadanya hanya kerana menjadi anak selebriti popular.

Mia tidak mengambil pusing cakap-cakap belakang yang melihatnya mendapat jalan mudah kerana menjadi anak pengarah dan pelakon terkenal.
Mia tidak mengambil pusing cakap-cakap belakang yang melihatnya mendapat jalan mudah kerana menjadi anak pengarah dan pelakon terkenal.

“Selama 25 tahun saya hidup di dunia, Afdlin Shauki ialah bapa saya.

“Tidak mungkin saya mahu mengubah hakikat itu hanya kerana saya tidak mahu dikenali sebagai anak Afdlin Shauki.

Artikel Berkaitan:

“Tidak dinafikan, bapa banyak memberi kepercayaan kepada saya untuk membintangi karya arahannya tetapi dalam masa sama banyak lagi tawaran lain yang saya dapat tanpa menggunakan nama bapa.

“Malah, kebanyakan drama atau filem lakonan saya berbeza dengan karya yang beliau hasilkan. Jadi itu tidak memberikan tekanan kepada saya,” katanya.

Mia Sara (dua dari kanan) bersama barisan pelakon Din Tiger.
Mia Sara (dua dari kanan) bersama barisan pelakon Din Tiger.

Mia Sara berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama siri terbaharu lakonannya, Din Tiger di Bukit Jalil baru-baru ini.

Pada masa sama, Mia Sara berkata, dia sering memegang nasihat bapanya mengenai apa yang mungkin diperkatakan orang di sekelilingnya.

“Selain itu, nasihat yang saya pegang ialah jangan ambil hati dengan lakonan sendiri. Maksudnya, jangan selalu fikir apa yang orang fikir mengenai kita.

“Pesan bapa lagi, orang akan memberi pelbagai nasihat kepada saya tetapi terpulang kepada saya untuk menerima atau mengabaikannya,” tutur Mia Sara.

Walaupun sering mendapat peluang beraksi dalam naskhah arahan bapanya, dedah Mia Sara, bukan mudah mendapat ‘restu’ Afdlin untuk menjadi pelakon malah setelah dua tahun barulah lelaki itu memberi kebenaran untuknya serius dalam bidang lakonan.

“Dahulu sebelum saya mula berlakon, bapa kurang setuju dan ada beri nasihat kerana dia tahu baik buruk dalam industri, antaranya sebagai pelakon bukan mudah untuk hidup selesa dan perlu bekerja kuat.

“Apa pun, saya buktikan kepadanya saya boleh lakukan. Jadi, selepas dua tahun dalam industri baru dia reda dan terima jalan yang saya pilih,” ujarnya yang menjadikan bapanya sebagai rujukan utama.

Mia menyifatkan dia bertuah kerana menjadi anak Afdlin Shauki.
Mia menyifatkan dia bertuah kerana menjadi anak Afdlin Shauki.

Pengarah

Tambah Mia Sara, dia turut menyimpan impian untuk duduk di kerusi sutradara dan mengarahkan karya sendiri suatu hari nanti.

Tidak mahu menunggu terlalu lama, bintang utama Histeria The Series itu mahu bermula dengan menghasilkan filem pendek sedikit masa lagi.

Sementelah pengalaman berada di set sejak usia masih muda telah memberi inspirasi buatnya menghasilkan karya sendiri.

“Tahun ini memang banyak yang saya mahu lakukan.

“Selain beberapa tawaran berlakon, saya ada merancang untuk menghasilkan filem pendek sendiri.

“Jika percubaan itu berjaya, saya mahu ambil langkah untuk hasilkan karya yang lebih besar. Pada masa sama, saya juga suka hasilkan skrip sendiri sejak tujuh tahun lalu.

“Jadi segala idea, siapa pelakon itu sudah ada dalam kepala,” jelasnya yang lebih tertarik menghasilkan naskhah bergenre drama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!