Imbau nostalgia 'bas lompat'
HULU TERENGGANU - Menikmati secangkir kopi panas ketika hujan lebat sambil mendengar alunan rintik hujan di bawah atap bas lama merupakan kenangan indah yang sudah pasti menggamit nostalgia.
Mereka yang mempunyai pengalaman menaiki bas lama suatu ketika dahulu sudah pasti akan merindui saat-saat tersebut kerana ia mengimbau 1,001 kenangan lama.
Beroperasi di Stesen Bas Lama Kuala Berang, dua buah bas lama dijadikan tempat makan menjanjikan pengalaman menarik buat pengunjung dan pelanggan yang bertandang ke situ.
Terletak di pusat bandar di sini, lokasi tersebut mudah dikunjungi kerana berdekatan dengan perpustakaan, tandas awam, masjid, stesen bas, stesen teksi dan bank.
Pemilik RR Station, Norjanah Bedul, 33, berkata, lokasi berkenaan menerima tumpuan ramai selepas mula beroperasi pada Oktober lalu.
“Idea untuk menjadikan ruangan dalam bas lama sebagai tempat makan bas dicetuskan oleh Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) di mana terdapat dua buah bas lama yang digunakan pada 1970-an hingga 1980-an lalu diubah suai menjadi ruangan makan.
“Pelanggan boleh memilih sama ada untuk makan dalam bas atau di ruangan lain bersebelahan kedai makan. Untuk ruang makan dalam setiap sebuah bas ia boleh memuatkan sehingga 30 pelanggan dalam satu-satu masa.
“Selain itu, kita juga mempunyai ruangan terbuka yang juga boleh memuatkan sehingga 30 pelanggan dalam tempoh masa sama,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai lokasi menarik itu, Norjanah berkata, ruangan dalam bas tersebut kelihatan lebih unik apabila ruangan dindingnya dihiasi dengan dekorasi gambar lama ketika bas berkenaan beroperasi sekali gus menambahkan lagi elemen klasik pada bas berkenaan.
“Sebanyak RM30,000 dibelanjakan untuk mengubahsuai bahagian luar dan dalam bas ini termasuk tambahan kerusi dan meja makan serta ruangan dapur.
“Dari segi kelainan yang kita hasilkan daripada elemen ini ialah merasai pengalaman makan dalam bas kerana generasi dahulu tidak merasai suasana sebegini.
“Secara tidak langsung, golongan dewasa boleh mengimbau nostalgia menaiki bas ini dan kanak-kanak boleh tahu dan kenal bas lama sebagai pengangkutan awam utama suatu ketika dahulu,” ujarnya.
Norjanah berkata, antara menu yang ditawarkan di RR Station seperti burger lima inci, roti john besar, chicken chop, mi sup dan nasi lemak.“Bagaimanapun untuk musim tengkujuh ini kita ada menu istimewa iaitu ubi kayu rebus,” katanya yang membuka jualan pada setiap hari (kecuali Isnin) bermula jam 5 petang hingga 11 malam.
Pengalaman pertama
Sementara itu, seorang pelanggan, Che Mohd Ramadan Che Kamarudin, 26, berkata, ini kali pertama dia merasai pengalaman menaiki bas lama era 1990-an.
“Saya tak pernah makan macam ini dalam bas, ini pengalaman pertama jadi ia beri suasana baharu buat saya.
“Musim hujan sesuai makan dalam bas sebab ruangan ini berhawa dingin dan lebih tenang,” katanya yang datang ke situ dari Felcra Bukit Kapah bersama rakan, Mohd Fadzil Mohd Noor, 28.
Seorang lagi pelanggan, Ainul Sairul, 40, dari Losong, Kuala Terengganu berkata, dia kali pertama berkunjung ke situ selepas mengetahui mengenainya melalui seorang rakan.
“Kalau dulu-dulu bas macam ni digelar ‘bas lompat’ sebab saya sendiri ada pengalaman naik bas dari Losong untuk ke pusat bandar di Kuala Terengganu.
“Kalau naik bas mini tambang waktu itu dalam 60 sen, bas biasa pula antara 30 sen hingga 50 sen,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!