'Orang tua' di Lembah Langtang
UMUR saya kurang 54 hari mencecah 71 tahun, sementara Hamid Yahya sudah berusia 76 tahun pada 16 September tahun lalu.
Daripada 10 anggota Langtang Valley Challenge itu, kamilah paling tua sementara Nur Alysha Mysara Mohd Hafiz yang termuda. Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Precinct II, Putrajaya itu berusia 17 tahun.
Terdapat juga Syahrulnizam Mohd Noor, 19, yang walaupun usianya muda tetapi punya pengalaman yang banyak dalam dunia pendakian dan trekking.
Beliau merupakan anak Mohd Noor Mat Amin, pendaki solo yang antara lain mencipta nama mendaki Gunung Kinabalu sebanyak 161 kali dalam tempoh 161 hari.
Syahrulnizam sendiri pertama kali menjejak puncak Kinabalu sewaktu berumur empat tahun. Pelajar bidang sains sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini pernah menjejak Everest Base Camp (5,364 meter), Annapurna Base Camp (4,130 meter), Puncak Yala (5,500 meter), Kyanjin Ri (3,400 meter) dan tasik kedua tertinggi di dunia Lake Tilicho (4.019 meter), selain menakluk beberapa gunung di Indonesia.
Syahrulnizam kini mempersiapkan dirinya untuk menjadi pendaki paling muda dari Malaysia dan ASEAN, sekiranya beliau berjaya sampai ke puncak tertinggi dunia, Everest (8,849 meter) pada Mei ini.
Anggota kumpulan yang kesemuanya ‘amatur’, memberanikan diri untuk mengikuti laluan yang dikenal sebagai Trek Lembah Langtang di Nepal.
Lembah Langtang terletak di daerah Rasuwa yang merupakan sebahagian daripada Provinsi Bagmati.
Lembah ini merupakan sebahagian daripada Langtang National Park yang terkenal. Trek ini sepanjang 77 kilometer dari pekan Syahrubesi hingga kaki Gunung Kyanjin Ri.
Laluan itu melalui sepanjang Sungai Lantang hingga ketinggian 4,100 meter di Kyanjin-Gompa di kaki Kyanjin Ri.
Nepal mempunyai beberapa trek yang terkenal, termasuklah trek Everest Base Camp, Annapurna Base Camp dan Laluan Manslu.
Berbanding tiga trek lain yang lebih popular, Langtang lebih mencabar walaupun destinasi akhirnya lebih rendah.
Trek ini memerlukan bukan sahaja stamina tetapi kemampuan bertahan pada kedudukan di mana oksigen mula menipis selama beberapa hari. Seseorang harus betul-betul super fit untuk tujuan itu.
Sepanjang perjalanan mendaki, treknya sukar, memenatkan dan menguji bukan sahaja kaki tetapi jantung dan paru-paru. Apa yang diperlukan bukan sahaja daya tahan tetapi sikap mental yang betul.
Bukan sekali dalam perjalanan itu saya bertanya diri sendiri, “Mengapakah aku memilih untuk menyeksa diriku pada usia ini?” Tetapi habuannya adalah keindahan alam luar biasa, dengan flora dan fauna yang sukar dijumpai, deru air Sungai Lantang yang membingitkan, udara segar yang luar biasa, juga pemandangan gunung ganang yang tiada berkesudahan.
Beberapa kali kami melalui jambatan gantung menyeberangi Sungai Lantang. Juga melalui bekas runtuhan gempa bumi yang menyebabkan banyak kematian dan kerosakan tempat tinggal pada 2015.
CABARAN MUTLAK PENDAKI
Di Kampung Langtang terdiri monumen mengingatkan pengunjung pada peristiwa yang amat menyedihkan itu. Beberapa pendaki dan trekker asing juga menjadi korban gempa bumi itu.
Di sepanjang jalan, kami berselisih dengan kuda dan keldai membawa barang, selain manusia yang memikul barangan berat mendaki dan menuruni curam yang menyeksakan.
Lembah Langtang adalah cabaran mutlak bagi mana-mana pendaki dan trekker. Laluan ini menyebabkan orang muda yang banyak bertenaga pun boleh terduduk keletihan, apa lagi orang seperti saya dan Hamid. Ini bukan laluan untuk ‘orang tua’ atau warga emas.
Tetapi Hamid juga bukan sebarangan orang. Hamid pernah bekerja dengan saya sewaktu di Utusan Melayu pada tahun 90-an. Beliau dan saya pernah mendaki gunung di Pulau Jawa bersama seorang yang lain iaitu mantan wartawan, Nasir Ahmad.
Di Langtang, Hamid menunjukkan kemampuannya luar biasa. Ada tiga kelompok bagi kumpulan yang terdiri dari 10 orang trekker dan lima orang malim itu - yang terpantas, kurang pantas dan yang terkemudian.
Hamid di hadapan bersama kumpulan yang berjalan laju, sedangkan saya selalunya sampai sejam lebih lambat.
Kami bergerak dari pintu masuk Lembah Lengtang, sebuah bandar kecil bernama Syahrubesi lalu memulakan trekking ke Sherpagaon. Sherpagaon (2,848 meter) lebih tinggi dari Gunung Tahan (2,187), gunung tertinggi di Semenanjung.
Keesokannya harinya kami bergerak ke Rimche melalui Chamdam (Lama) dan Gaumanchok (Riverside). Perjalanan tersebut mengambil masa lebih tujuh jam bagi saya.
Saya dan tiga anggota rombongan terpaksa bermalam di Riverside disebabkan ada yang kurang sihat manakala yang lain meneruskan perjalanan ke Kampung Lantang dan kemudiannya ke Kyanjin Gompa.
Ini merupakan wilayah kaum Lamang dan Sherpa, dua kelompok etnik yang terkenal di Nepal. Mereka merupakan orang pergunungan yang bangga dengan tradisi dan warisan.
Ada di antara mereka yang membina ‘hotel’ atau ‘lodge’ yang sebenarnya merupakan tempat persinggahan untuk pendaki dan trekker. Tempat seperti ini punya bilik yang amat asas, disewakan lebih kurang RM30 semalam.
Ada tempat yang punya WiFi, ada yang tidak. Hidup tanpa WiFi rupanya satu kenikmatan luar biasa! Ada tempat yang menyediakan air panas tetapi sebaldi dikenakan bayaran RM6.40. Menu makanannya tidak kalah dengan hotel empat bintang di Katmandu.
Banyak pendaki dan trekker adalah orang asing, maka makanan yang disediakan tentulah bertaraf antarabangsa, selain makanan tempatan.
Saya mengenal Ritu Nawar pemilik Lama Guest House, yang suaminya Tika Bahadur Nawar memiliki rumah tamu di Sherpagaon.
Bahadur kehilangan sebelah kakinya akibat frostbite sewaktu cuba menyelamatkan seorang pendaki asing di Gunung Ngakhang. Churina Dawa bersama suaminya pula menguruskan rumah tumpangan di Riverside.
Dawa mengajak saya berjalan bersamanya. Beliau mahu mengambil bekalan di Kampung Langtang. Saya bertanya berapa lama perjalanan dari Riverside ke Kampung Langtang.
“Lebih kurang tiga jam,” jawabnya. Malim saya mengingatkan, tiga jam bagi Dawa adalah tujuh jam bagi saya! Perjalanan pulangnya lebih sukar dan mencabar. Jalannya curam dan berbahaya.
Dari Rimche ke Bamboo, laluan menurunnya memberikan kesan luar biasa pada kaki, khususnya lutut. Kami bermalam di Langmarchekhola atau Bamboo sebelum meneruskan perjalanan ke Syabrubesi keesokan harinya.
Pengalaman Lembah Langtang cukup luar biasa dan istimewa bagi saya. Dalam diari, saya menulis, “I survived Langtang Valley!” Ada sesiapa dalam kalangan warga emas yang ingin mencuba?
* Tan Sri Johan Jaaffar adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau banyak mendaki gunung di Malaysia, Indonesia dan United Kingdom (UK).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!