Padah buat aksi 'wheelie', 'zigzag', empat remaja ditahan
JOHOR BAHRU – Keasyikan empat penunggang motosikal melakukan aksi 'wheelie' dan 'zigzag' mengundang padah apabila kesemua mereka ditahan dalam operasi khas, pada awal pagi Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, kesemua remaja lelaki berusia 18 hingga 20 tahun itu ditahan di sekitar pusat bandar raya dalam operasi khas yang diadakan mulai jam 12.30 malam hingga 5 pagi.
“Operasi khas ini memfokuskan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya dan melanggar peraturan lalu lintas.
“Semua remaja yang ditahan disyaki melakukan aksi seperti 'wheelie' dan 'zigzag' yang bukan sahaja membahayakan diri mereka tetapi juga pengguna jalan raya lain.
“Selain itu, operasi khas ini juga bertujuan untuk membanteras aktiviti samseng jalan,” katanya.
Pada operasi berkenaan, sebanyak empat motosikal turut disita untuk pemeriksaan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Sebanyak enam saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. Antara kesalahan-kesalahan yang dikenal pasti adalah termasuk tiada lesen memandu dan pengubahsuaian struktur kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi.
“Polis akan terus memantau lokasi-lokasi panas yang dikenal pasti menjadi tumpuan aktiviti samseng jalanan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!