Nahas 5 kenderaan: Rim besi milik tayar lori ditemui di pusat pelupusan sampah
ALOR GAJAH - Komponen rim besi yang dipercayai daripada tayar lori yang tercabut dalam kemalangan meragut tujuh nyawa di Kilometer 204, Lebuhraya Utara-Selatan(PLUS) arah utara bulan lalu ditemui di pusat pelupusan sampah di Jalan Solok, Tangkak, Johor pada Sabtu.
Difahamkan, rim terbabit bersaiz 22.5 inci seberat kira-kira 100 kilogram (kg) manakala tayarnya dipercayai sudah musnah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, ia selepas Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Alor Gajah mendapatkan maklumat daripada Pegawai Operasi Projek Penyelenggaraan Lebuhraya (PROPEL) di Pejabat PLUS Tangkak.
"Pihak sub kontraktor PROPEL telah pun menyerahkan komponen rim besi tayar terbabit kepada polis dan satu laporan rampasan dibuat.
"Ia akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita pada Ahad.
Sebelum ini media melaporkan polis sedang giat mengesan tayar yang dipercayai menjadi punca kemalangan berkenaan
Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) juga memohon bantuan orang ramai yang mempunyai rakaman 'dashcam' atau maklumat tentang keberadaan tayar lori untuk tampil menyerahkannya kepada pihak polis.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, bahan bukti itu amat penting untuk membantu siasatan agar keluarga mangsa dan orang ramai mendapat kepastian dan titik noktah berhubung tragedi menyayat hati itu.
Menurutnya, tayar tersebut dikatakan tercabut disebabkan kerosakan pada gandar kecil dan berada di tengah jalan semasa kejadian, seperti yang disahkan oleh pemandu lori yang terlibat dan saksi-saksi kejadian.
Kemalangan pada 23 Disember lalu itu turut membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah Perodua Bezza yang turut mengakibatkan 33 mangsa lain cedera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!