Titah Adendum: Rayuan Najib didengar esok

Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Datuk Seri Najib Razak esok berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah, berdasarkan dakwaannya mengenai kewujudan Titah Adendum menyokong permohonan tersebut.
Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Datuk Seri Najib Razak esok berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah, berdasarkan dakwaannya mengenai kewujudan Titah Adendum menyokong permohonan tersebut.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Datuk Seri Najib Razak esok berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah, berdasarkan dakwaannya mengenai kewujudan Titah Adendum menyokong permohonan tersebut.

Pendengaran yang pada asalnya dijadualkan pada 5 Disember tahun lalu akan dimulakan pada jam 9 pagi di hadapan panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.

Mahkamah juga akan mendengar permohonan bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan bagi menyokong dakwaannya mengenai kewujudan Titah Adendum tersebut.

Pendengaran itu ditangguhkan ke 6 Januari selepas peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada panel tiga hakim bahawa beliau telah memfailkan permohonan pada 3 Disember lepas untuk mengemukakan keterangan tambahan.

Najib, 71, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lalu yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Najib mendakwa Titah Adendum itu akan membolehkan bekas perdana itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.

Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga memohon perintah, jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!