Guru pondok, madrasah Pahang terima bantuan khas RM1,000 seorang
KUANTAN - Seramai 650 guru yang berkhidmat di 134 pondok dan madrasah berdaftar di bawah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) akan menerima bantuan khas sekali bayar sebanyak RM1,000 setiap seorang.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman, berkata pemberian tersebut melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM650,000.
Menurutnya, pengagihan bantuan itu bermula Khamis lalu dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang penghujung Januari ini.
“Ini kali pertama MUIP memberikan bantuan khas kepada guru-guru ini sebagai tanda penghargaan atas usaha murni pondok dan madrasah dalam memastikan aqidah pelajar dan umat Islam di Pahang terus terpelihara,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau turut memaklumkan bahawa selain bantuan khas ini, MUIP sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif sokongan lain untuk pondok dan madrasah di negeri ini.
Antara bantuan tersebut termasuk dermasiswa pondok, bantuan bencana, serta sokongan kepada program-program bersifat sekali bayar (one-off) dan sebagainya.
Asmadi menambah bahawa pemberian bantuan ini membuktikan komitmen MUIP dalam menyokong institusi pendidikan agama sebagai tonggak pembangunan ummah di Pahang.
“Kami mengiktiraf dedikasi pihak pengurusan pondok dan madrasah yang sentiasa mematuhi garis panduan MUIP, termasuk pelaksanaan modul standard dan memastikan pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!