Jelajah Sinar Untuk Rakyat diteruskan ke Zon Selatan dan Timur

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyertai kayuhan sempena Jelajah Sinar Untuk Rakyat pada Sabtu di Beseri. Turut kelihatan Zamri (dua dari kiri) dan Pengarang Eksekutif Kumpulan Sinar Harian, Azmi Tarmizi (tiga dari kiri).
Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyertai kayuhan sempena Jelajah Sinar Untuk Rakyat pada Sabtu di Beseri. Turut kelihatan Zamri (dua dari kiri) dan Pengarang Eksekutif Kumpulan Sinar Harian, Azmi Tarmizi (tiga dari kiri).
A
A
A

BESERI - Program Jelajah Sinar Untuk Rakyat akan diteruskan ke lokasi lain selepas berakhir di Perlis pada Sabtu dan Ahad bagi menghargai dan meraikan pembaca setia Sinar Harian.

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, sambutan baik diberikan oleh penduduk di Masjid Jamek Beseri dan Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri, di sini mencapai sasaran yang ditetapkan.

Menurutnya, maklum balas daripada rakan kerjasama utama seperti Yayasan Bank Rakyat juga sangat baik dan ada perbincangan untuk memilih beberapa lokasi lain untuk program seterusnya.

"Sasaran awal untuk menyantuni dan meraikan pembaca Sinar Harian di luar Lembah Klang dan termasuk menyantuni golongan yang memerlukan perhatian mencapai matlamat.

"Kami mungkin akan merancang program berdasarkan zon, seperti satu di Zon Utara, satu di Zon Selatan dan satu di Pantai timur Semenanjung. Lokasi sebenar seterusnya akan dibincangkan lagi," katanya pada Ahad.

Jelas beliau, Sinar Harian juga dalam perancangan untuk mengadakan program ceramah motivasi dan kem bina diri untuk pelajar.

Menurutnya, sejak pandemik Covid-19, banyak pelajar tercicir termasuk 10,000 pelajar yang tidak hadir untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

"Oleh itu, kami ingin memberikan semangat kepada anak muda dan pelajar untuk kembali minat belajar.

Artikel Berkaitan:

Harapan kami, program Jelajah Sinar Untuk Rakyat ini tidak hanya terhenti di sini tetapi akan diteruskan lagi pada masa akan datang.

"Program ini adalah sebahagian usaha Sinar Harian untuk menghargai pembaca yang sekian lama menyokong akhbar ini sejak ia dimulakan pada 2006," ujarnya.

Pada Sabtu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli berkayuh pada satu program sempena Jelajah Sinar Untuk Rakyat menyantuni golongan asnaf.

Baginda juga berkenan untuk merasmikan program jelajah tersebut dan menyampaikan sumbangan bakul rezeki kepada 200 penerima.

Melalui kerjasama dengan Masjid Berseri, penganjur turut mengadakan kenduri bersama penduduk kampung apabila seekor lembu ditumbangkan dan pelbagai juadah disediakan untuk dinikmati bersama penduduk setempat termasuk pelajar dari IKM dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!