Warga emas maut kereta dipandu terbabas
TANGKAK - Seorang warga emas maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan yang dipandunya terbabas di kilometer (KM) 171.0 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara pada Sabtu.
Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II, Jabatan Bomba dan Penyelamat Tangkak, Azli Hashim berkata, satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua unit jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dengan 17 anggota telah dihantar ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.
Menurutnya, operasi itu turut dibantu PKO dari Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari dari Melaka.
"Sebaik pasukan tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati tersepit di tempat pemandu.
"Pasukan kemudiannya menggunakan peralatan khas ‘Rescue Tools’ untuk mengeluarkan mangsa, namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, operasi ditamatkan pada jam 4.46 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!