UNIFIL kecam tindakan Israel musnahkan menara pemerhati Lubnan

UNIFIL mengecam tindakan tentera Israel memusnahkan menara pemerhati tentera Lubnan serta mengalihkan tong biru yang menandakan garisan pengunduran antara Lubnan dan Israel.
UNIFIL mengecam tindakan tentera Israel memusnahkan menara pemerhati tentera Lubnan serta mengalihkan tong biru yang menandakan garisan pengunduran antara Lubnan dan Israel.
A
A
A

BEIRUT - Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) pada Sabtu mengecam tindakan tentera Israel memusnahkan menara pemerhati tentera Lubnan serta mengalihkan tong biru yang menandakan garisan pengunduran antara Lubnan dan Israel, lapor Agensi Anadolu (AA).

UNIFIL dalam satu kenyataan memaklumkan pasukan pengaman PBB itu menyaksikan sebuah jentolak milik tentera Israel "memusnahkan tong biru yang menandakan garisan pengunduran antara Lubnan dan Israel di Labbouneh.”

Menurut pasukan pengaman, jentolak itu juga memusnahkan "sebuah menara pemerhati milik Angkatan Bersenjata Lubnan yang terletak berhampiran dengan kedudukan UNIFIL.”

UNIFIL mengecam keras insiden berkenaan, dengan menyatakan bahawa "pemusnahan secara sengaja dan langsung oleh tentera Israel terhadap kedua-dua harta benda dan infrastruktur UNIFIL yang boleh dikenal pasti dengan jelas milik Angkatan Bersenjata Lubnan adalah pelanggaran terang-terangan terhadap Resolusi 1701 dan undang-undang antarabangsa.”

"Kami menyeru semua pihak untuk mengelakkan sebarang tindakan, termasuk pemusnahan harta benda dan infrastruktur awam yang boleh menjejasjan pemberhentian permusuhan,” kata pasukan PBB itu.

Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB yang diterima pakai pada 11 Ogos 2006, menyeru agar permusuhan antara Hizbullah dan Israel dihentikan sepenuhnya dan penubuhan zon bebas senjata antara Garisan Biru dan Sungai Litani di selatan Lubnan, dengan pengecualian untuk tentera Lubnan dan UNIFIL.

Menjelang petang Sabtu, Israel telah melakukan 383 pelanggaran perjanjian gencatan senjata, menyebabkan 32 kematian dan 39 kecederaan, menurut pengiraan Anadolu berdasarkan data rasmi Lubnan.

Di bawah syarat gencatan senjata, Israel dikehendaki mengundurkan tenteranya ke selatan Garisan Biru - sempadan de facto - secara berperingkat, manakala tentera Lubnan akan ditempatkan di selatan Lubnan dalam tempoh 60 hari.

Artikel Berkaitan:

Data daripada Kementerian Kesihatan Lubnan menunjukkan bahawa sejak serangan Israel terhadap Lubnan bermula pada 8 Okt 2023, sekurang-kurangnya 4,063 mangsa telah terbunuh, termasuk wanita, kanak-kanak dan petugas kesihatan, manakala 16,664 yang lain cedera. - Bernama/AA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!