Grouse, Lady bantu SAR cari remaja dikhuatiri lemas
KUANTAN - Khidmat dua anjing pengesan, Grouse dan Lady digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari rumah rakit ke dalam Sungai Pahang, Jalan Kampung Pedah di Kampung Jerantut Feri, Jerantut.
Operasi SAR seawal jam 7 pagi itu telah memasuki hari kedua pada Ahad.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, operasi turut disertai 41 anggota penyelamat pelbagai agensi, termasuk 20 anggota bomba termasuk enam anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin, Temerloh.
Menurutnya, operasi SAR turut dibantu 20 penduduk kampung.
"Pasukan PPDA telah membuat selaman pertama operasi pencarian mangsa jam 9.20 pagi manakala pasukan K9 membuat pencarian mangsa di permukaan bersama anjing pengesan," katanya.
Bagaimanapun sehingga jam 1 tengah hari, mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Azri Fahmi Bahiudin Zaiful Afindi,14 masih belum ditemui.
Azri Fahmi dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari rumah rakit ke dalam Sungai Pahang di Jalan Kampung Pedah dekat Kampung Jerantut Feri di sini pada Sabtu.
Mangsa sebelum itu dipercayai sedang memancing bersama dua rakannya di rumah rakit terbabit sebelum tergelincir ke dalam sungai dan hilang dibawa arus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!