2 bekas pengarah syarikat didenda salah guna kedudukan untuk bayaran bonus

Dua bekas pengarah syarikat didenda sebanyak RM100,000 setiap orang setelah mengaku bersalah menggunakan wang syarikat sebanyak RM200,000 sebagai pembayaran bonus kepada diri sendiri, tanpa kelulusan mesyuarat agung. Gambar hiasan
Dua bekas pengarah syarikat didenda sebanyak RM100,000 setiap orang setelah mengaku bersalah menggunakan wang syarikat sebanyak RM200,000 sebagai pembayaran bonus kepada diri sendiri, tanpa kelulusan mesyuarat agung. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua bekas pengarah syarikat didenda sebanyak RM100,000 setiap orang setelah mengaku bersalah menggunakan wang syarikat sebanyak RM200,000 sebagai pembayaran bonus kepada diri sendiri, tanpa kelulusan mesyuarat agung.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan Teo Tzi Sin dan Wong Poh Wah, dituduh di bawah seksyen 218(1)(c) Akta Syarikat 2016 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana menyalahgunakan kedudukan mereka sebagai pengarah syarikat untuk manfaat kepada diri sendiri.

Menurut SSM, pembayaran bonus telah dibuat bersekali dengan pembayaran gaji pada 30 Januari 2018.

Tzi Sin dan Poh Wah sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu, namun telah menukar pengakuan pada 13 Disember lepas.

Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan 20 Disember untuk mendengar fakta kes dan menjatuhkan hukuman.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM Nurul ‘Ain Shafie dan Nurul Nabila Azmi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ong Weng Li.

Tzi Sin dan Poh Wah telah menjelaskan bayaran denda sejurus selepas prosiding selesai. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!