Warga asing disamun lelaki menyamar anggota polis

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Vijay)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Vijay)
A
A
A

KLANG - Sebuah keluarga warga asing berdepan detik cemas apabila disamun seorang lelaki menyamar sebagai anggota polis dalam kejadian di kawasan perumahan Jalan Belimbing, Meru pada Sabtu.

Bagaimanapun tindakan individu tempatan itu mengundang padah apabila diberkas hari yang sama selepas mangsa membuat laporan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, laporan berkaitan kejadian diterima pihaknya kira-kira jam 1.24 pagi.

"Siasatan mendapati suspek berumur 23 tahun jtu mulanya masuk ke rumah mangsa serta memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

"Suspek turut bertindak meminta wang tunai sebanyak RM4,000 serta mengugut mahu memberkas mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, mangsa serta ahli keluarga yang takut dengan tindakan itu kemudiannya menyerahkan dua cincin emas dan sebuah telefon bimbit kepada suspek.

"Suspek kemudiannya mengambil kesemua barangan itu sebelum melarikan diri menggunakan sebuah motosikal.

"Siasatan dijalankan kemudiannya berjaya memberkas suspek tidak lama selepas kejadian berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, suspek direman dua hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 392 dan 170 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan mana-mana individu yang menyamar sebagai anggota polis," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!