'Saya tidak mahu arwah anak tertinggal di bawah landasan' - Waris
KLANG - Keputusan meneruskan kerja-kerja pemindahan 90 tapak di tanah perkuburan Selat Klang menimbulkan rasa terkilan dan tidak puas hati dalam kalangan waris.
Seorang waris, Zafirah Zakaria, 35, berkata, segala keputusan mahu dibuat seharusnya mendahulukan waris terlebih dahulu, sebaliknya tuntutan mereka diketepikan.
"Kami tidak dibenarkan melihat dari dekat tetapi saya perlu berada di situ untuk pastikan dan tidak mahu arwah anak saya tertinggal di bawah landasan itu.
"Waris lain pun berpandangan sama juga. Lebih terkilan saya tidak dapat hadir pada hari mereka mengalihkan kubur anak saya yang dijadualkan pada Isnin.
"Jadual penerbangan saya menunaikan umrah pada Ahad dan berharap pemindahan dapat ditangguhkan, namun harapan saya amat tipis dan saya amat terkilan," katanya kepada Sinar Harian.
Sebanyak 90 kepok kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di sini telah pun dialihkan bermula jam 10 pagi termasuk kepok milik arwah anak Zafirah pada Sabtu.
Tambah Zafirah, dia difahamkan sebanyak 30 lot kubur terlibat dijangka dipindahkan pada setiap hari.
Seorang lagi waris, Hazlina Hasbullah, 49, ketika dihubungi berkata, proses pengalihan itu mengambil masa kira-kira dua jam dengan sebahagiannya masih sempurna diletakkan berhampiran dengan pagar perkuburan.
"Kami kesal kerana kerja-kerja ini dilaksanakan serta-merta dan segala bantahan kami sebelum ini tidak diambil peduli," katanya.
Mengulas lanjut, waris juga telah dimaklumkan kerja-kerja pemindahan kubur itu tetap diteruskan pada Isnin.
Sinar Harian pada November lalu melaporkan, penduduk menyuarakan bantahan menerusi memorandum tiga muka surat berikutan pemindahan 90 tapak Tanah Perkuburan Islam Selat Klang bagi memberi laluan kepada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menerusi memorandum itu, penduduk mengemukakan tuntutan antara lain meminta pihak terlibat menyediakan garis panduan pemindahan kubur di negeri ini.
Antara tuntutan itu termasuklah surat permohonan pemindahan kubur dari pihak ECRL kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Tuntutan lain, seperti mendapatkan makluman rasmi daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor kepada JAIS menyatakan kebenaran berkaitan surat kebenaran JAIS meliputi perkara-perkara yang diwartakan di dalam garis panduan tersebut.
Tuntutan itu turut menyatakan, sekurang-kurangnya seorang waris dibenarkan melihat sepanjang proses pemindahan dilakukan selain kerajaan negeri perlu menanggung kos kepok dan batu nisan serta segala kerosakan lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!