'Semua habis terbakar, tiada apa yang tinggal'
TANJUNG DAWAI - Kebakaran membabitkan 14 rumah penduduk di sini pada Ahad, mengingatkan kembali kejadian sama sekitar 30 tahun lalu.
Azme Omar, 60, berkata, ini kali kedua dia ditimpa bencana sama selepas kejadian pertama sekitar tahun 90-an.
"Kali ini tiada yang tinggal, gambar kenangan arwah isteri yang meninggal dunia dua tahun lalu juga semuanya musnah," katanya.
Azme yang bekerja sebagai nelayan berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan.
"Sebaik mendarat, penduduk kampung memberitahu rumah saya terbakar.
"Dari atas bot nampak saya sudah nampak kepulan asap, namun tidak menyangka rumah sendiri terbakar," katanya.
Sementara itu, Fitrah Azmi, 30, berkata, dia masih terbayang-bayang api marak sehingga meranapkan kesemua deretan 14 rumah.
"Ketika itu, saya nampak asap dan terus lari keluar sebelum nampak rumah sebelah terbakar.
"Saya panggil anak keluar dan ketika itu suami tiada di rumah kerana ke laut. Saya juga cuba panggil jiran-jiran untuk selamatkan diri," katanya yang kini tinggal sehelai sepinggang.
Julaili Abdullah, 32, pula berkata, kejadian itu menyebabkan duit simpanan dan tabung miliknya dan suami, Mohd Zamzani Md Nawi, 34, berjumlah kira-kira RM5,000 hangus terbakar.
"Itulah duit nak bayar rumah sewa, ansuran kereta dan perbelanjaan yang disimpan, habis semua tak sempat ambil sudah hangus," katanya.
Sementara itu, Azlida Abd Rahim, 29, berkata, ketika kejadian, dia baru sahaja pulang dari menghantar laksam untuk jualan dan terdengar suara jiran menjerit minta tolong.
"Saya dengar suara jiran minta tolong, pergi buka pintu dapur dan nampak rumah belakang terbakar, api marak ketika itu.
"Saya dan emak cepat-cepat keluar, hanya sempat keluarkan tong gas.... tak lama kemudian bomba pun sampai," katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Zon 2 Sungai Petani, Penguasa Kanan Bomba II, Johari Bar Azwar berkata, keadaan rumah kayu yang dibina secara rapat menyukarkan proses pemadaman.
"Paling mencabar apabila air pili bomba ada berdekatan tetapi kita tak boleh guna sebab dalam saluran paip tu tak ada air jadi cabaran kita terpaksa tunda (lewat) sehingga sejam untuk dapatkan bantuan dari Water Tanker," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, seorang lelaki dilaporkan melecur di tangan dan kaki dalam kebakaran membabitkan 13 rumah di Tanjung Dawai di sini pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi (PPON) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Azhar Mohamad berkata, mangsa berusia 30-an telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Difahamkan, 13 rumah musnah teruk dalam kejadian terbabit manakala sebuah lagi terjejas menjadikan keseluruhan 14 rumah terbakar.
Mangsa yang cedera masih dirawat di hospital bagaimanapun status kecederaan belum dapat dipastikan setakat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!