Peserta himpunan solidariti Najib berdepan tindakan tegas - Polis

Aidi Sham
Aidi Sham
A
A
A

PUTRAJAYA - Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang menyertai Himpunan Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan yang akan dilaksanakan di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman Putrajaya, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, orang ramai dilarang menyertai himpunan itu kerana ia tidak mendapat kebenaran pemilik tanah.

"Himpunan berkenaan juga tidak mematuhi syarat-syarat seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mana mana individu yang menyertai perhimpunan tersebut kerana ia melanggar undang-undang sedia ada," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, beberapa sekatan jalan raya (SJR) turut akan didirikan di jalan-jalan masuk ke kawasan Putrajaya.

"Pemeriksaan ketat akan dijalankan melibatkan semua individu yang akan memasuki kawasan ini.

"Langkah ini bagi memastikan tiada sebarang senjata, sepanduk yang mengandungi perkataan atau unsur-unsur jelik atau hasutan berhubung dengan himpunan terbabit," katanya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan penganjuran himpunan solidariti buat Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Kehakiman di sini pada Isnin ditolak pihak polis.

Artikel Berkaitan:

Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya ada menerima permohonan penganjuran tersebut pada 31 Disember lalu namun ia terpaksa ditolak selepas semakan dilakukan mendapati permohonan berkenaan tidak lengkap.

Jelas beliau, penolakan permohonan telah diberitahu kepada pihak penganjur Jumaat lalu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Mahkamah Rayuan menetapkan Isnin sebagai mendengar rayuan bekas Perdana Menteri itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan Najib untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!