[VIDEO] Jelajah Pontensi Diri tingkatkan keyakinan pelajar
BESERI - Penganjuran Ceramah Motivasi Jelajah Potensi Diri sempena Jelajah Sinar Untuk Rakyat di Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri di sini mampu membantu meningkatkan keyakinan pelajar terutamanya di kalangan B40.
Perunding motivasi remaja, Farhaan Rahmat berkata, masalah keyakinan diri dalam kalangan pelajar antara yang dapat dikesan menerusi penganjuran ceramah seperti ini.
Menurutnya, mereka sering merasa lemah semangat dan tidak layak untuk berjaya seperti orang lain.
"Namun, kita perlu meningkatkan jati diri dan keyakinan mereka bahawa walaupun datang dari keluarga yang susah, mereka masih berpotensi dan peluang untuk berjaya, asalkan tahu cara yang betul.
"Program seperti ini sangat diperlukan oleh pelajar kerana ia dapat memberi motivasi dan semangat kepada mereka untuk terus belajar dan mencapai kejayaan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Seramai hampir 200 pelajar dari beberapa sekolah dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Beseri mengikuti Ceramah Motivasi Jelajah Potensi Diri yang disampaikan oleh Farhaan selama kira-kira dua jam.
Jelas penceramah motivasi itu lagi, pendekatan yang dilakukan Sinar Harian dan Yayasan Bank Rakyat ini patut diteruskan dalam program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada masa hadapan agar anak-anak muda mendapat info terkini dan cara sebenar untuk menjadi pelajar yang berjaya.
Menurutnya, masyarakat banyak membincangkan pelbagai isu dan masalah yang dihadapi oleh remaja pada hari ini dan perkara berkenaan perlu diberikan perhatian serius.
"Seperti yang kita sedia maklum, remaja sekarang ini terlibat dengan pelbagai aktiviti yang kurang baik.
"Saya juga menyentuh dalam ceramah motivasi ini mengenai gangguan terbesar yang mereka hadapi ketika belajar gangguan gajet, isu berkaitan dengan keluarga dan kawan yang toksik," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, hari kedua Jelajah Sinar Untuk Rakyat diisi dengan program ceramah motivasi yang dikendalikan oleh penceramah terkenal.
Menurutnya, program pemerkasaan pendidikan ini sememangnya menjadi salah satu elemen penting dalam siri Jelajah ini demi meningkatkan minat belajar murid-murid terutamanya di peringkat sekolah menengah.
"Alhamdulillah respon daripada pelajar amatlah baik dan Insya-ALLAH dapat kita teruskan di tempat lain.
"Terima kasih sekali lagi kita ucapkan kepada Yayasan Bank Rakyat yang berkolaborasi menjayakan program ini dan tidak ketinggalan IKM Beseri yang menjadi lokasi program," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!