'Siapa tak takut, tanah rebak tak sampai lima meter dari rumah'

Masalah tanah rebak dikatakan berlaku apabila longkang sedia ada pecah akibat tidak mampu menampung jumlah aliran air yang tinggi. Gambar kecil dari kiri: Mohd Azlan, Wan Abdul Jalil, Mohd Rozaini
Masalah tanah rebak dikatakan berlaku apabila longkang sedia ada pecah akibat tidak mampu menampung jumlah aliran air yang tinggi. Gambar kecil dari kiri: Mohd Azlan, Wan Abdul Jalil, Mohd Rozaini
A
A
A

PADANG RENGAS - Keadaan hujan yang tidak menentu menambah kebimbangan penduduk taman perumahan Changkat Surin di sini susulan kejadian tanah rebak.

Keadaan tanah rebak sepanjang 20 meter itu boleh menimbulkan risiko besar disebabkan jarak dengan beberapa kediaman penduduk terlalu hampir hanya lima meter.

Penduduk, Mohd Rozaini Yaacob, 47, berkata, masalah hakisan tanah yang mula disedari sejak tiba bulan lalu itu menjadi mimpi ngeri mereka setiap kali hujan lebat.

Dia yang baru berpindah ke kawasan itu setahun lalu berkata, paling ketara apabila mendapan menyebabkan struktur tanah di sekeliling tiang-tiang elektrik terganggu.

Saarani sempat meninjau keadaan tanah rebak yang berlaku berhampiran jalan utama di Jalan Puncak Bougainvillea dekat Lubok Merbau pada Sabtu. Foto: Facebook Saarani Mohamad
Saarani sempat meninjau keadaan tanah rebak yang berlaku berhampiran jalan utama di Jalan Puncak Bougainvillea dekat Lubok Merbau pada Sabtu. Foto: Facebook Saarani Mohamad

"Siapa yang tidak bimbang, lagi-lagi rumah saya hanya berjarak lima meter sahaja dari kawasan tanah rebak ini, jika tiada tindakan, macam-macam perkara boleh berlaku.

"Kalau tengok keadaan tiang elektrik dan telekom (Telekom Malaysia) yang ada di sini, dah hampir tunggu masa nak tumbang," katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.

Kejadian tanah rebak berhampiran jalan utama di Jalan Puncak Bougainvillea dekat Lubok Merbau itu mendapat keprihatinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mengadakan lawatan kerja pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi penduduk, Mohd Azlan Yazid, 45, berkata, terdapat 10 lot tapak perumahan berada hampir dengan kawasan rebakan tersebut dengan enam daripadanya telahpun siap dibina rumah.

Katanya, perkara yang menjadi kegelisahan apabila sudah terdapat banyak hakisan kecil membentuk aliran air.

Terdapat 10 lot tapak perumahan berada hampir dengan kawasan rebakan tersebut dengan enam daripadanya telahpun siap dibina rumah.
Terdapat 10 lot tapak perumahan berada hampir dengan kawasan rebakan tersebut dengan enam daripadanya telahpun siap dibina rumah.

"Di hadapan rumah saya sekarang ini pun, ada banyak kesan hakisan berlaku. Bagi mengelak tanah semakin teruk, penduduk cuba tanam pokok buluh madu.

"Tetapi penanaman pokok ini ambil masa bukan taman hari ini, esok boleh besar. Saya harap ada tindakan daripada pihak berkenaan untuk memperbaiki keadaan tanah rebak ini," katanya.

Bagi Wan Abdul Jalil Mustaffa, 57, pula, masalah tanah rebak itu berlaku apabila longkang sedia ada pecah akibat tidak mampu menampung jumlah aliran air yang tinggi.

Katanya, bukan setakat perumahan tersebut, longkang berkenaan turut menjadi saluran utama yang mengalirkan sisa dan sampah dari kawasan penempatan dan pusat komersial berhampiran.

"Jadi bila longkang pecah, air pula turun terlalu banyak, itu yang menyebabkan struktur tanah terhakis sebelum berlaku rebakan.

"Sebelum ini pun, penduduk dah berusaha gotong-royong buat kerja pembersihan longkang, tetapi hanya bertahan sekejap, selepas itu longkang ini kembali dipenuhi sampah sarap serta botol minuman," katanya.

Mhd Yussof
Mhd Yussof

Sementara itu, Ketua Komuniti, Datuk Mhd Yussof Zakaria berkata, kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) telah menyatakan komitmen awal untuk menyelesaikan isu tanah rebak berkenaan.

Ujar beliau, antara cadangan diberikan adalah baik pulih longkang dan kawasan sekitar rebakan yang memerlukan kos sekitar RM500,000.

"Sebelum ini pun kami dah beberapa kali mengadakan pertemuan bersama pemaju dan MPKK, namun belum ada penyelesaian dicapai.

"Harap kunjungan Menteri Besar kali ini memberi harapan baru kepada penduduk bagi mengelak berlakunya runtuhan lebih buruk dan banjir.

"Menteri Besar sendiri telah meminta saya untuk menyerahkan salinan permohonan supaya peruntukan itu disegerakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!