Brazil arah siasat askar Zionis
BRASILIA - Sebuah mahkamah di Brazil mengarahkan pihak berkuasa menyiasat seorang askar Israel yang sedang bercuti di negara itu berhubung dakwaan melakukan jenayah perang di Genting Gaza.
Siasatan itu diumumkan susulan aduan dibuat Hind Rajab Foundation (HRF) berpusat di Belgium berhubung insiden yang mengorbankan sebuah keluarga termasuk kanak-kanak pada tahun lalu.
Mahkamah Daerah Persekutuan dalam satu kenyataan memaklumkan polis digesa mengambil tindakan terhadap Yuval Vagdani selepas dia didapati terlibat dalam kempen pemusnahan sistematik di Gaza.
“Kami meminta pihak berkuasa negara ini untuk menjalankan tugas mereka dan melindungi proses kehakiman serta memastikan keadilan ditegakkan,” ujarnya lagi.
Difahamkan, Brasilia selaku penandatangan Statut Rom mempunyai kuasa undang-undang untuk mendakwa individu yang terlibat jenayah perang.
Pada 29 Januari 2024, Zionis membedil kenderaan dinaiki kanak-kanak perempuan dikenali sebagai Hind bersama ahli keluarganya yang lain ketika melarikan diri dari zon tempur di kawasan kejiranan Tel al-Hawa di Bandar Gaza. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!