Tiga lelaki curi kabel pakai baju kontraktor TM diberkas

Tiga lelaki berpakaian kontraktor TM diberkas polis selepas disyaki terlibat dengan kegiatan mencuri kabel. Foto hiasan, gambar kecil: Zulkifli
Tiga lelaki berpakaian kontraktor TM diberkas polis selepas disyaki terlibat dengan kegiatan mencuri kabel. Foto hiasan, gambar kecil: Zulkifli
A
A
A

GERIK - Tiga lelaki berpakaian kontraktor Telekom Malaysia (TM) diberkas polis selepas disyaki terlibat dengan kegiatan mencuri kabel di Jalan Kuala Rui di sini awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, kejadian berlaku sekitar jam 4.30 pagi ketika sepasukan anggota daripada Balai Polis Bersia sedang menjalankan tugas Ronda Cegah Jenayah di kawasan pentadbiran balai berkenaan.

Menurutnya, ketika di lokasi kejadian, tiga suspek yang menaiki sebuah van berwarna putih dalam keadaan keadaan mencurigakan di tepi jalan berkenaan.

"Semasa pemeriksaan dilakukan di dalam van tersebut, pihak polis menemui beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk memotong kabel. Pemeriksaan lanjut berhampiran tempat pemeriksaan yang dipandu arah oleh kesemua suspek turut menjumpai tiga gulung kabel yang telah di potong di tepi jalan berhampiran van tersebut.

"Modus operandi ketiga-tiga suspek menggunakan pakaian dan peralatan milik syarikat Kontraktor yang turut berdaftar dan menjalankan kerja-kerja pemasangan serta pembaikan kabel dengan TM di bahagian utara," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Zulkifli berkata, susulan itu pihaknya menahan tiga suspek berkenaan yang berusia dalam lingkungan 31 hingga 36 tahun dan turut merampas kesemua barang-barang kes untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, antara barang-barang yang dirampas termasuklah pemotong kabel, spanar, tangga aluminium, topi keselamatan, tiga gulung kabel, vest pantulan cahaya dan sebuah van.

Katanya, berdasarkan pengesahan dibuat oleh pihak TM, kabel yang dipotong itu sepanjang 70 meter dengan anggaran kerugian bernilai RM3,000.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes disiasat di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri kabel TM dan soal siasat lanjut akan dibuat bagi melihat sama ada ketiga-tiga suspek terbabit mempunyai kaitan dalam kes-kes lain.

Dalam pada itu, Zulkifli turut meminta kerjasama orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah termasuk kecurian kabel kepada pihak polis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!