Serangan Israel rosakkan hampir 1,000 masjid di Gaza

Asap tebal selepas tentera Israel menyerang dataran kediaman di kejiranan al-Rimal di bandar Gaza. Foto Xinhua
Asap tebal selepas tentera Israel menyerang dataran kediaman di kejiranan al-Rimal di bandar Gaza. Foto Xinhua
A
A
A

ISTANBUL - Hampir 1,000 masjid di Gaza rosak akibat serangan Israel sepanjang tahun lepas, menurut pihak berkuasa Palestin seperti dilaporkan oleh Agensi Anadolu (AA).

Dalam satu kenyataan, Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin memaklumkan bahawa 815 rumah ibadat Islam musnah sepenuhnya manakala 151 lagi mengalami kerosakan separa.

Kementerian itu juga melaporkan bahawa 19 tanah perkuburan dan tiga gereja turut musnah dalam apa yang disifatkan sebagai perang genosid oleh Israel ke atas Gaza pada 2024.

Di Tebing Barat yang diduduki, kementerian itu merekodkan 256 pencerobohan oleh peneroka ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur sepanjang tahun lepas.

Menurut kementerian, seramai 2,567 peneroka haram memasuki kompleks masjid itu bagi meraikan cuti perayaan Hanukkah selama seminggu, yang berlangsung dari 25 Disember hingga 2 Januari.

Kementerian turut mendokumentasikan serangan Israel ke atas 20 masjid di Tebing Barat.

Ketegangan terus memuncak di Wilayah Palestin yang diduduki susulan perang genosid Israel ke atas Gaza, yang telah meragut lebih 45,800 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak 7 Oktober 2023.

Pada November lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, kerana jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Artikel Berkaitan:

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung perang yang memusnahkan Gaza. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!