Lelaki hidup semula selepas ambulans langgar bonggol jalan
MUMBAI - Seorang lelaki berusia 65 tahun kembali hidup selepas ambulans yang membawanya terlanggar bonggol jalan.
Pada mulanya, Pandurang Ulpe di Kolhapur, Maharshtra di India mengalami serangan jantung pada 16 Disember lalu dan dibawa ke hospital.
Doktor kemudiannya mengesahkan kematian Ulpe disusuli keluarganya membuat persiapan untuk membawa pulang mayatnya bagi upacara pengebumian.
"Jarinya mula bergerak ketika ambulans melanggar bonggol jalan. Mereka kemudiannya menuju ke hospital lain dan Ulpe dimasukkan ke unit rawatan intensif dan menjalani prosedur angioplasti iaitu membuka saluran darah tersumbat pada arteri jantung.
"Dia dibenarkan discaj dari hospital kedua itu selepas 15 hari menjalani rawatan," lapor media tempatan.
Ketika mengimbau semula detik sebelum dia 'meninggal dunia', Ulpe cuma teringat dia berasa pening dan sukar bernafas selain muntah-muntah.
Sementara itu, cucunya, Ramane berkata, doktor di hospital swasta di Kasba Bawda mengesahkan datuknya terkena serangan jantung dan dirujuk ke kemudahan perubatan lain.
"Di sana dia muntah darah beberapa kali dan prosedur elektrokardiogram (ECG) dilakukan ke atasnya, namun dia disahkan meninggal dunia.
"Ketika di dalam ambulans, salah seorang ahli keluarga kami memeriksa pergelangan tangannya dan merasakan denyutan nadi setelah ia terlanggar bonggol kelajuan," jelasnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!