Tunggu keputusan mahkamah - FAM
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) sudah melantik peguam berhubung permohonan injuksi kepada mahkamah untuk menangguhkan kongres badan induk itu yang dijadualkan pada 15 Februari ini.
Permohonan tersebut dibuat oleh Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) yang memaklumkan injunksi berkenaan akan didengar di mahkamah pada Isnin ini.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman bagaimanapun enggan mengulas lanjut bagi mengelak sebarang perkara berhubung proses yang akan dijalankan oleh mahkamah.
"Berkaitan dengan saman PFA, FAM telah melantik peguam untuk menentang saman yang difailkan oleh persatuan itu.
"Memandangkan kes sedang dibicarakan di mahkamah saya telah dinasihatkan oleh peguam untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kerana ia akan bersifat subjudis kepada mahkamah.
"Sehingga mahkamah memberikan apa-apa perintah penggantungan, kongres FAM pada 15 Februari ini akan diteruskan seperti yang dirancang," katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
PFA menerusi presidennya Zamri Ibrahim berkata, persatuan itu mempunyai merit untuk melakukan injunksi tersebut atas sebab saman dikemukakan kepada FAM berlandaskan alasan badan induk itu menggantung PFA tanpa sebarang proses pendengaran dan peluang membela diri.
“Injunksi ini akan didengar di mahkamah pada Isnin ini. Jadi, kita mohon untuk percepatkan memandangkan proses pencalonan sudah bermula di FAM.
“Bila FAM gantung kita, mereka nafikan hak PFA untuk kemukakan pencalonan, hadir kongres dan halang kita untuk mengundi (pada kongres).
“Sedangkan kita saman FAM atas dasar mereka tak bagi hak kita didengari sebelum menjatuhkan hukuman. Jadi atas sebab itu, ada merit untuk kita buat injunksi menahan semua proses pada kongres itu,”
FAM pada 4 Disember lalu menggantung PFA daripada menjadi ahli gabungan susulan isu tunggakan gaji dan pampasan bekas pengarah bola sepak pasukan itu, Matt Holland.
Bagaimanapun, PFA membuat keputusan untuk menyaman FAM sekali gus mencabar keputusan tersebut selepas didakwa menggantung keahlian PFA tanpa prosedur sah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!