Promosi makanan rendah garam

Laporan Sinar Harian pada Sabtu berkaitan KKM perangi garam. Gambar kecil: Safiya
Laporan Sinar Harian pada Sabtu berkaitan KKM perangi garam. Gambar kecil: Safiya
A
A
A

SHAH ALAM - Kempen ‘perang’ garam yang bakal dilancarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu menyediakan panduan praktikal kepada rakyat seperti promosi makanan rendah garam di restoran dan kedai makan selain menyebarkan kesedaran.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Safiya Amaran berkata, inisiatif ini amat wajar dilaksanakan segera memandangkan masalah ini semakin membebankan sistem kesihatan negara.

Beliau berkata, statistik daripada Global Burden of Disease Study (GBD 2017) turut mengesahkan bahawa diet tinggi natrium adalah salah satu faktor risiko utama penyakit kardiovaskular di seluruh dunia termasuk Malaysia.

“Sehubungan itu, pengurangan garam merupakan langkah penting ke arah mencapai matlamat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengurangkan kematian akibat penyakit tidak berjangkit (NCD) sebanyak 25 peratus menjelang 2025.

“Bagaimanapun, kejayaan kempen ini bergantung kepada pendekatannya yang menyeluruh dan konsisten,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, KKM dilaporkan bersedia melancarkan kempen ‘perang’ terhadap garam yang bertujuan mengurangkan pengambilan bahan itu dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pengurangan pengambilan garam penting kerana ia dikenal pasti sebagai faktor utama yang menyumbang kepada pelbagai penyakit kronik yang membawa kepada kematian pramatang di negara ini.

Safiya menambah, keberkesanan kempen ini boleh dipantau melalui data pengurangan prevalens penyakit kronik yang berkaitan dengan garam.

Artikel Berkaitan:

Kongsi beliau lagi, pengambilan garam yang berlebihan merupakan satu isu kesihatan yang semakin membimbangkan di Malaysia.

Menurutnya, Malaysian Community Salt Survey (MyCoSS) 2019 menunjukkan rakyat Malaysia mengambil purata 7.9 gram garam sehari iaitu hampir dua kali ganda daripada saranan kurang lima gram sehari disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 melaporkan prevalens hipertensi dalam kalangan orang dewasa di negara ini adalah sekitar 29.2 peratus dengan sebahagian besar kes adalah 11.9 peratus tidak disedari.

“Hipertensi sering dikaitkan dengan pengambilan garam berlebihan menjadi salah satu punca utama komplikasi kesihatan seperti penyakit jantung koronari dan strok,” kata beliau.

Tambahnya lagi, kesan pengambilan garam yang berlebihan bukan sahaja terbatas kepada hipertensi,malah ia juga memberi kesan kepada buah pinggang, meningkatkan risiko kegagalan buah pinggang kronik.

“Pengambilan garam yang tinggi juga boleh menyebabkan kehilangan kalsium dari tulang, yang menyumbang kepada osteoporosis,” katanya.

Sehubungan itu, Safiya berkata, salah satu pendekatan boleh dilaksanakan untuk menangani masalah ini ialah memperkenalkan pelabelan makanan yang lebih jelas dan berinformasi.

Beliau berkata, produk dengan kandungan garam tinggi wajar diberi amaran khas pada bungkusan untuk meningkatkan kesedaran pengguna.

“Kempen kesedaran awam perlu dijalankan secara berterusan dan menyeluruh.

“Kempen melalui media sosial, televisyen, dan platform komuniti seperti masjid, sekolah, dan tempat kerja boleh memberi impak besar,” katanya.

Safiya menyifatkan, pendekatan itu bukan sahaja mendidik rakyat tentang bahaya garam tetapi juga menggalakkan perubahan gaya hidup.

“Pendidikan juga memainkan peranan penting terutama di peringkat sekolah. Modul pemakanan sihat yang menekankan kepentingan mengurangkan pengambilan garam boleh dimasukkan dalam kurikulum,” katanya.

Beliau berpandangan, secara keseluruhan, pelancaran kempen ‘perang’ terhadap garam oleh KKM adalah satu usaha yang amat dialu-alukan.

“Ia bukan sahaja boleh menyelamatkan nyawa, malah membantu rakyat Malaysia menjalani kehidupan yang lebih sihat dan berkualiti,” katanya.

Tambah beliau lagi, perubahan tabiat pemakanan ini memerlukan kerjasama semua pihak sama ada daripada kerajaan, industri makanan, hingga masyarakat umum untuk memastikan kejayaan jangka panjang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!