Dr Hussam Abu Safiya, hero penyelamat penduduk Gaza

Dr Hussam Abu Safiya
Dr Hussam Abu Safiya
A
A
A

GENTING GAZA - Israel telah mengesahkan penahanan Pengarah Hospital Kamal Adwan, Dr Hussam Abu Safiya, beberapa hari selepas beliau 'diculik' pada hari serbuan ganas dilancarkan ke atas kemudahan perubatan di utara Genting Gaza itu pada 27 Disember lalu.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memaklumkan Abu Safiya sedang disoal siasat tanpa menjelaskan tuduhan yang kononnya mengaitkan beliau sebagai sebahagian daripada pejuang Hamas.

Tetapi, Pakar Perubatan untuk Hak Asasi Manusia Israel (PHRI) pula mendedahkan tiada petunjuk penahanan itu dibuat.

Pada Khamis, PHRI memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Israel menuntut pemberitahuan lokasi Abu Safiya dan IDF diberi tempoh seminggu untuk berbuat demikian.

Keadaan peralatan hospital yang rosak akibat kezaliman Zionis tidak menghalang beliau untuk menjalankan tugasnya merawat pesakit dan mangsa cedera.
Keadaan peralatan hospital yang rosak akibat kezaliman Zionis tidak menghalang beliau untuk menjalankan tugasnya merawat pesakit dan mangsa cedera.

Keberadaan beliau terus menjadi tanda tanya kepada banyak pihak termasuk Amnesty International selepas beliau bersama ratusan kakitangan perubatan yang lain ditahan sewenang-wenangnya oleh rejim Zionis.

Sebelum ini, keluarganya mendakwa beliau mungkin ditempatkan di pangkalan tentera Sde Teiman di selatan Tel Aviv, di mana IDF menyoal siasat tahanan mereka dengan cara melakukan penyeksaan fizikal dan mental.

“Kaki bapa saya cedera parah akibat serbuan itu. Kami amat bimbang dengan keadaannya,” kata anaknya, Idrees Abu Safiya.

Artikel Berkaitan:

Abu Safiya pernah ditahan IDF ketika serbuan pada Oktober lalu, namun dibebaskan tidak lama selepas itu.

Sewaktu kempen pencerobohan di kompleks tersebut, anak lelaki beliau, Ibrahim yang berusia 15 tahun dilaporkan turut terkorban.

Kamal Adwan di Beit Lahia yang kembali digempur pada akhir bulan lalu berada di kawasan utara Gaza yang dikepung Zionis sejak Oktober lalu meskipun tindakan zalim itu berdepan kecaman komuniti antarabangsa.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa IDF turut menyekat akses penghantaran bantuan kemanusiaan ke kawasan itu di mana kira-kira 10,000 hingga 15,000 penduduk Palestin dilaporkan terperangkap.

KESIHATAN DIDAKWA MEROSOT

Sementara itu, pemerhati hak asasi manusia, Euro-Med mendedahkan mereka menerima maklumat tahap kesihatan Abu Safiya semakin merosot akibat diseksa dengan teruk di lokasi penahanannya di Sde Teiman.

Menurut Euro-Med, sejumlah keterangan saksi yang mengesahkan tindakan kekasaran melampau ke atas beliau termasuk dipindahkan ke lokasi soal siasat di al-Fakhura di kem pelarian Jabalia.

“Beliau dipaksa berbogel dan dipukul serta disebat dengan wayar yang biasanya digunakan untuk pendawaian tiang elektrik. Abu Safiya turut dimaki hamun sebelum dibawa ke lokasi rahsia,” ujar kumpulan pemerhati berpusat di Geneva tersebut.

Abu Safiya tetap meneruskan 'misi kemanusiaan' meskipun diancam Zionis.
Abu Safiya tetap meneruskan 'misi kemanusiaan' meskipun diancam Zionis.

Susulan pendedahan laporan itu, Euro-Med menzahirkan kebimbangan tentang Abu Safiya yang mungkin akan menerima nasib sama seperti pegawai perubatan lain yang maut di tangan Zionis.

Antaranya, Ketua Jabatan Ortopedik Hospital al-Shifa di Bandar Gaza, Dr Adnan al-Bursh yang menemui ajal akibat penganiayaan melampau Zionis di penjara Ofer pada April lalu.

Selain itu, Ketua Jabatan Obstetrik di Kamal Adwan, Dr Iyad al-Rantisi juga maut kerana penderaan fizikal di pusat siasatan Shin Bet di Ashkelon pada akhir 2023 dan kematiannya dirahsiakan selama kira-kira tujuh bulan oleh Zionis.Ikon penduduk Palestin

Selama lebih setahun, nama beliau dikenali oleh komuniti antarabangsa kerana Abu Safiya terus memperjuangkan hak pesakit dan mangsa yang cedera di utara untuk mendapatkan rawatan.

Beliau juga enggan akur dengan arahan Zionis supaya meninggalkan kawasan utara Gaza tersebut.

Abu Safiya bukan sahaja menjadi sahabat kepada kakitangan perubatan lain malah menjadi kesayangan ribuan penduduk hilang tempat tinggal yang menggelarnya sebagai 'ikon penduduk Palestin'.

Beliau dilahirkan pada 21 November 1973 di kem pelarian Jabalia selepas keluarganya berpindah dari Hamama di daerah Ashkelon ketika Nakba (malapetaka) pada 1948.

Beliau adalah lulusan Ijazah Sarjana dan memperoleh Sijil Lembaga Palestin dalam bidang pediatrik serta neonatologi.

Abu Safiya sering berpindah-randah dari satu hospital ke hospital lain untuk merawat kanak-kanak dan bayi baru lahir.

Pada 23 November lalu, beliau pernah mengalami kecederaan akibat terkena serpihan serangan dron Zionis ke atas Kamal Adwan ketika Abu Safiya keluar dari bilik bedah yang mengakibatkan urat dan arterinya pecah.

“Ia tidak akan menghentikan misi saya. Darah orang lain lebih berharga daripada diri saya sendiri. Saya akan kembali bertugas sebaik sahaja sembuh,” katanya pada masa itu.

Sejak perang genosid ke atas Genting Gaza tercetus, Abu Safiya tetap meneruskan 'misi kemanusiaan' untuk merawat mangsa kezaliman IDF walaupun berdepan kekurangan peralatan dan sumber ubat-ubatan. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!