Peminat sejati tak perlu dadah untuk ‘layan' konsert
MERAK JALANAN rasa marah dan kecewa apabila mengetahui berlaku kes kematian peminat muzik akibat pengambilan dadah dalam konsert Pinkfish pada malam sambutan Tahun Baharu, minggu lepas.
Insiden sebegini merosakkan imej penganjuran konsert terutama genre muzik keras, gara-gara segelintir peminat yang acah-acah hebat.
Pencinta muzik sejati tidak memerlukan dadah untuk menikmati konsert.
Muzik merupakan seni yang mampu menyentuh hati dan jiwa kita. Ia mempunyai ‘kuasa’ untuk menyatukan individu dari pelbagai latar belakang dan budaya dalam satu alunan yang sama.
Konsert pula tempat di mana peminat muzik dapat merasai pengalaman ini secara langsung dan intensif.
Keajaiban muzik sepatutnya mencukupi untuk memberikan kepuasan dan kegembiraan.
Penggunaan dadah semasa konsert akan menjejaskan pengalaman keseluruhan konsert bagi semua yang hadir.
Ia menyebabkan tindakan tidak rasional atau ganas, yang boleh mengancam keselamatan penonton lain.
Perbuatan sedemikian mencemarkan imej konsert dan membawa kepada peningkatan kawalan keselamatan lebih ketat, yang akhirnya mengganggu keseronokan sebenar kepada semua peminat.
Sebagai pencinta muzik sejati, kita perlu kembali kepada asas tujuan menghadiri konsert iaitu untuk menikmati muzik secara langsung, merasai getaran bunyi menggegarkan dan merasakan semangat kolektif bersama peminat lain.
Pengalaman ini sepatutnya sudah cukup untuk mengisi jiwa dan memberikan kenangan indah tanpa perlu bergantung kepada dadah.
Penganjur konsert juga mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan persekitaran yang selamat dan kondusif bagi semua penonton.
Malang sekiranya peminat luar negara takut untuk hadir konsert di Malaysia jika ia dicemari dengan dadah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!