Bentang projek akhir tahun sambil keluar peluh di gim
SHAH ALAM - Sudah menjadi kebiasaan projek tahun akhir (FYP) dibincangkan dalam keadaan formal, namun berbeza apabila hal tersebut dilakukan bersama pensyarah ketika bersenam di gimnasium.
Seorang pelajar tahun akhir, Nur Hidayah Ismail, 25, berkata, perbincangan akademik bersama penyelia FYP, Dr Norfaizah Abdul Jobar sering dilakukan secara ‘sihat’.
“Mungkin bagi orang ramai... perkara dilakukan bersama pensyarah ini sesuatu di luar kebiasaan, namun sebenarnya tidak bagi kami (pelajar seliaan Norfaizah).
“Ini kerana, Dr Norfaizah sering menyelitkan waktu pembelajaran sihat yang memerlukan kami mengeluarkan peluh untuk menjaga indeks jisim badan (BMI).
“Oleh itu, kami sering berbincang mengenai pembelajaran meskipun ketika bersenam kerana ini yang ditekankan Dr Norfaizah,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Ahad.
Ketika ditanya mengenai video tular di laman sosial, TikTok @nurhidayahyy, dia memberitahu bahawa perbincangan mengenai FYP dilakukan di gimnasium adalah atas permintaan penyelia kerana ia akan dibentangkan di hadapan pensyarah lain.
Jelas mahasiswi jurusan Pendidikan Bahasa Melayu, Norfaizah mahukan pembentangan para pelajar seliannya terisi dengan kandungan yang memberi impak.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur Dr Norfaizah sudi menjadi pembimbing projek akhir ini. Pendekatan yang beliau gunakan begitu memudahkan kami para pelajar.
“Bagi saya... beliau bukan sahaja seorang pensyarah tetapi seseorang yang boleh dijadikan tempat mengadu dan pembimbing dengan perwatakan keibuan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!