Mustafar bukti kemampuan terokai industri perabot kayu

Mustafar
Mustafar
A
A
A

MINAT sejak kecil dalam bidang pertukangan kayu membuatkan Syarikatnya fokus menghasilkan produk seperti meja dan kerusi kegunaan sekolah, 53, berani menceburkan diri dalam perniagaan perabot kayu yang jarang dilakukan Bumiputera.

Anak kelahiran Felda Ijok, Selama Perak itu memulakan langkah kaki ke dunia perniagaan dengan menimba ilmu dan pengalaman bersama rakan yang mengusahakan kilang kayu.

Selepas empat tahun, Mustafar kemudiannya mengambil keputusan untuk membuka perniagaan sendiri di sebuah kilang di kawasan Perindustrian Pengkalan 2, Pusing di Ipoh.

Kilang yang ditubuhkan di bawah jenama syarikat V Products Sdn Bhd sejak 2019 itu berjaya bersaing dengan pembekal perabot kayu di seluruh negara.

Rehal antara produk keluaran V Products yang meraih jualan tertinggi di Shopee.
Rehal antara produk keluaran V Products yang meraih jualan tertinggi di Shopee.

Mustafar sebagai pengarah syarikat berkata, produknya lebih khusus menghasilkan perabot seperti meja dan kerusi belajar bagi kegunaan di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurutnya, dengan penggunaan mesin terkini serta khidmat 10 tenaga kerja, pembuatan produk di kilang itu mampu menghasilkan lebih 300 set kerusi dan meja dalam sehari.

“Peringkat awal dulu saya hanya bermula dengan pengeluaran satu produk sahaja iaitu kerusi dan meja belajar bagi kegunaan tadika.

Artikel Berkaitan:

“Apabila kedudukan kewangan mula kukuh barulah saya hasilkan produk set meja kerusi sekolah rendah, menengah dan diikuti perabot-perabot untuk kegunaan IPT.

“Alhamdulillah sepanjang lima tahun ini, hasil produk kami sudah pun digunakan di seluruh negara termasuklah Johor, Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Kualiti menjadi keutamaan dalam setiap penghasilan produk syarikat V Products.
Kualiti menjadi keutamaan dalam setiap penghasilan produk syarikat V Products.

Bapa kepada tiga anak itu mengakui cabaran dalam industri tersebut bukan mudah terutama untuk mendapatkan kepercayaan daripada syarikat-syarikat besar.

Malah katanya, usaha mendapatkan bekalan kayu secara berterusan bagi pembuatan perabot itu juga awalnya menemui jalan buntu kerana kurang pendedahan.

Namun beliau tidak putus semangat dan bangkit membina jenama sendiri dengan menitikberatkan kualiti produk dihasilkan terutama penggunaan jenis kayu yang bersesuaian.

“Di sini kita hanya menggunakan kayu balau merah dan kayu getah, ini antara jenis kayu yang dibenarkan bagi kegunaan perabot di sekolah.

“Sebenarnya banyak kriteria ditetapkan dan kita memang mengikut semua standard itu termasuklah ukuran meja kerusi dan penggunaan bahan-bahan lain seperti warna cat.

“Dengan menjaga kualiti produk inilah membolehkan kami mampu pergi jauh dan sekarang, sudah banyak pelanggan datang sendiri ke kilang untuk melihat sendiri produk yang dihasilkan dan membuat tempahan,” katanya.

JUALAN DALAM TALIAN MENINGKAT

Selari dengan perkembangan semasa, V Products tidak mahu ketinggalan menerokai pasaran jualan secara dalam talian menerusi platform Shopee.

Mustafar berkata, inisiatif yang mula digerakkan pada 2021 itu mendapat sambutan luar jangkaan apabila merekodkan peningkatan jualan 100 peratus hanya dalam tempoh dua tahun pertama dengan tahap penilaian lima bintang daripada pembeli.

Paling mendapat sambutan adalah kerusi kayu yang menghampiri 30,000 unit jualan dan rehal yang sudah terjual 2,000 unit dengan rekod nilai jualan RM3,000 sehari.

“Kami juga dalam usaha mendaftar bersama Perbadanan Harta Intelek Malaysia bagi melindungi jenama dan reka cipta setiap produk yang dijual.

“Buat masa ini, kelulusan baharu diperolehi bagi produk rehal di bawah nama Al-Wafiq sementara yang lain masih lagi dalam proses,” katanya.

Mustafar menunjukkan proses pembuatan perabot kerusi dan meja untuk kegunaan sekolah yang dikeluarkan syarikatnya.
Mustafar menunjukkan proses pembuatan perabot kerusi dan meja untuk kegunaan sekolah yang dikeluarkan syarikatnya.

BIMBING PELAJAR

Beliau berkata, syarikat itu kini merancang menyediakan ruang kepada lepasan GiatMara menjalani latihan di kilang tersebut dengan bimbingan tenaga pengajar bertauliah.

Katanya, langkah itu bagi memberi nilai tambah terhadap kemahiran sedia ada, selain pendedahan terhadap peluang perniagaan yang mampu menjana pendapatan tinggi.

“Perkara ini sudah kita suarakan kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan masih dalam peringkat perbincangan.

“Jadi dengan pengalaman yang mereka perolehi di sini nanti boleh dibawa ke pasaran pekerjaan lain.

“Sepanjang latihan mereka juga akan diberi galakan menghasilkan satu produk baharu yang boleh dimasukkan dalam jualan online syarikat,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!