Pegawai berkuasa 'gelap mata' ancam keselamatan rakyat
SHAH ALAM - Setiap pegawai berkuasa digesa tidak memperjudikan kepentingan dan keselamatan pengguna jalan raya demi kerakusan diri sendiri melibatkan wang ringgit.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, perkara tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana ia akan mengakibatkan nyawa orang ramai.
Menurutnya, akibat salah laku pegawai terbabit, ia bakal mengundang nahas lebih berbahaya seterusnya menggugat kesejahteraan rakyat.
“Setiap pegawai perlu meningkatkan nilai intergeriti dalam menjalankan tugas dan melindungu kepentingan awam.
“Jangan memperjudikan kepentingan dan keselamatan pengguna jalan raya jika salah laku pegawai yang meluluskan pemeriksaan dengan mengambil rasuah tanpa menjalankan pemeriksaan yang sepatutnya.
“Kita tidak boleh memandang ringan sebegini kerana natijahnya sangat besar yang melibatkan kepentingan awam dan nyawa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes rasuah berkaitan pemeriksaan kenderaan berat di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) ditahan reman pada Sabtu.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berkata, lelaki berusia lingkungan 40 tahun itu ditahan hasil kolaborasi strategik antara suruhanjaya tersebut dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Sementara itu, tambah Hamdan Daniel, kejadian yang berlaku tersebut bakal melunturkan kepercayaan rakyat terhadap sistem pemeriksaan Puspakom yang seharusnya menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
Tegasnya lagi, perkata terbabit perlu diberi perhatian serius dan tindakan lebih proaktif atau drastik oleh pihak kerajaan.
“Antara lainnya adalah menambah baik pentadbiran sedia ada dengan memastikan bahawa pegawai yang menjalankan tugas tidak terdedah dengan rasuah,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!