Aneh Pas sertai perhimpunan - Amanah
KOTA BHARU - Keputusan Pas untuk menyertai perhimpunan Solidariti Untuk Najib pada Isnin dikatakan agak aneh kerana parti itu antara paling kuat mengkritik mengenai 1MDB sebelum ini.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, Pas juga dilihat menjadi penyokong Najib yang lebih tegar daripada UMNO kerana parti itu sudah mengeluarkan kenyataan akan akur dengan titah yang Dipertuan Agong.
"Kita rasa agak aneh apabila Pas mahu meneruskan perhimpunan. Hakikatnya Najib telah dibicarakan pada zaman Perikatan Nasional (PN) dan dijatuhkan hukuman ketika Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra KADA Bersama media pada Ahad.
Khalid berpendapat, Pas sepatutnya akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong serta tidak campur tangan dalam proses keadilan yabg dilaksanakan oleh institusi terbabit.
Katanya lagi, perhimpuan berkenaan boleh mencampuri proses kehakiman yang sebenarnya sudah mengikut Perlembagan.
"Apabila ada perbicaraan kita buat protes, buat demo, itu maknanya kamu mencampuri proses kehakiman yang sebenarnya sudah ada mengikut Perlembagaan.
"Biarkan proses itu berjalan tanpa sebarang tindakan, supaya kita dapat menyaksikan proses berjalan dengan lancar dan seperti yang sepatutnya," katanya.
Sebelum ini media melaporkan, UMNO membuat keputusan tidak menyertai perhimpunan atas prinsip menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan sebagaimana arahan Ketua Polis Negara.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO parti yang konsisten memperjuang dan mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan parti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!