Tiga ahli parlimen mohon ikuti prosiding Titah Adendum Najib
PUTRAJAYA - [DIKEMAS INI] Peguam, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memohon kepada Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin, untuk mengikuti prosiding semakan kehakiman selaku peguam pemerhati, berhubung isu kewujudan Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Semasa prosiding, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, beliau hadir bagi mewakili tiga ahli Parlimen iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut); Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Kemaman) dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran).
“Tujuan kami hadir ke mahkamah, disebabkan isu yang akan dipertimbangkan oleh mahkamah, yang mana ia telah dibangkitkan beberapa kali secara serius khususnya Dewan Rakyat dan pihak Kerajaan pada 10 Disember tahun lalu.
“Parlimen membenarkan ‘ketika sesi soal jawab Perdana Menteri’ (PMQ) berkaitan isu Adendum telah dibenarkan.
“Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mewakili Kerajaan memberitahu, beliau tidak boleh menjelaskan isu ini di Parlimen atas alasan subjudis kerana kes terbabit masih berlangsung di mahkamah,” katanya.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata demikian ketika prosiding didengar di hadapan panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.
Peguam itu berkata, mereka hadir untuk memerhati dan mendengar penjelasan mengenai isu tersebut di mahkamah.
Najib, 72, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Bekas pemimpin UMNO itu mendakwa Titah Adendum itu akan membolehkannya, menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun di bawah tahanan di kediamannya.
Pada 3 Julai 2024, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan titah terbabit.
Hakim memutuskan demikian selepas mendapati semua afidavit difailkan bagi menyokong permohonan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia bersifat khabar angin.
Sebelum ini, Najib selaku pemohon, meminta perintah mandamus untuk memaksa tujuh pihak selaku responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lepas.
Pihak terbabit ialah Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.
Pada 23 Ogos 2022, Najib dihukum meringkuk di Penjara Kajang selama 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Bagaimanapun, pada 2 Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman itu kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta, menyaksikan Najib akan dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!