Anak Najib sahkan Titah Adendum dari Istana Pahang - Peguam

Muhammad Shafee, Muhammad Nizar, Najib
Muhammad Shafee, Muhammad Nizar, Najib
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pihak pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin bahawa anak sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Mohamad Nizar mengesahkan wujudnya Titah Adendum daripada Istana Pahang.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata demikian ketika membaca perintah itu di hadapan panel tiga hakim, yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong ke-16 membenarkan anak guamnya menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun, di bawah tahanan rumah.

Menurutnya, Nizar menerima dokumen itu, yang merupakan rekod peribadi Sultan Pahang.

“Kami memohon penerimaan semua bukti afidavit ini supaya boleh berhujah mengenai rayuan ini,” katanya.

Selain itu, beliau mendedahkan Mohamad Nizar turut menerima surat daripada Majlis Kesultanan Pahang yang mengesahkan wujudnya perintah Adendum itu.

Menurutnya, surat bertarikh 4 Januari lalu, ditandatangani oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman dan dialamatkan kepada Mohamad Nizar yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang.

Ketika membacakan kandungan surat terbabit, Muhammad Shafee berkata, surat ini merupakan bukti tambahan dalam rayuannya berhubung isu Titah Adendum.

Isi kandungan surat itu ialah:

Artikel Berkaitan:

"Saya dengan hormatnya memaklumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, atas kapasiti baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, telah menitahkan supaya Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara baginda melalui tahanan rumah melalui perintah tambahan bertarikh 29 Januari 2024.

Sehubungan itu, melalui surat ini, saya bagi pihak Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16, dengan ini mengesahkan bahawa titah tambahan baginda adalah sah dan sahih."

Najib, 72, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Bekas pemimpin UMNO itu mendakwa Titah Adendum itu akan membolehkannya, menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun di bawah tahanan di kediamannya.

Pada 3 Julai 2024, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan titah terbabit.

Hakim memutuskan demikian selepas mendapati semua afidavit difailkan bagi menyokong permohonan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia bersifat khabar angin.

Sebelum ini, Najib selaku pemohon, meminta perintah mandamus untuk memaksa tujuh pihak selaku responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lepas.

Pihak terbabit ialah Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Pada 23 Ogos 2022, Najib dihukum meringkuk di Penjara Kajang selama 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Bagaimanapun, pada 2 Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman itu kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta, menyaksikan Najib akan dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!