Sempadan Malaysia-Thailand terkawal

Mohd Yusoff (kanan) menyampaikan sijil kenaikan pangkat kepada pegawai polis Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan pada Ahad.
Mohd Yusoff (kanan) menyampaikan sijil kenaikan pangkat kepada pegawai polis Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Pasukan keselamatan di Kelantan berjaya mengawal kegiatan jenayah rentas sempadan Malaysia-Thailand selepas penguatkuasaan larangan pangkalan haram sejak 1 Disember lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, usaha polis menempatkan satu batalion Senoi Praaq dari Pengkalan Hulu, Perak berkawal di 17 pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan bermula 1 Januari tahun ini turut menunjukkan perkembangan positif.

Menurut beliau, selepas pelaksanaan larangan berkenaan, tujuh individu sudah dikenakan hukuman mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155).

"Thailand sangat menyambut baik usaha berkenaan kerana pada masa sama dapat memperkukuhkan keselamatan sempadan kedua-dua negara," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Ahad.

Mohd Yusoff turut memaklumkan, pemantauan berterusan akan dilakukan di semua pangkalan haram yang masih digunakan untuk menyeberangi sungai.

Jelas beliau, sehingga kini terdapat lebih 20 laluan haram yang telah dikenal pasti di daerah Pasir Mas dan masih digunakan dalam kalangan penyeludup berbanding Tumpat dan Jeli.

"PGA akan sentiasa melakukan rondaan di kawasan berkenaan bagi mengelakkan penjenayah aktif menggunakan laluan haram itu," katanya.

"Tanggungjawab yang diberikan Senoi Praaq mampu meningkatkan kawalan di sempadan Kelantan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!