Guna gambar pelakon Hong Kong, lelaki ditipu sindiket ‘Love Scam’

Seorang penghantar barang kerugian RM63,826 selepas terjerat dengan sindiket penipuan cinta maya atau ‘Love Scam’ dalam talian. Gambar hiasan (Gambar kecil: Raub)
Seorang penghantar barang kerugian RM63,826 selepas terjerat dengan sindiket penipuan cinta maya atau ‘Love Scam’ dalam talian. Gambar hiasan (Gambar kecil: Raub)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang penghantar barang kerugian RM63,826 selepas terjerat dengan sindiket penipuan cinta maya atau ‘Love Scam’ dalam talian.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa lelaki tempatan berusia 28 tahun itu mula berkenalan dengan suspek pada awal Ogos melalui aplikasi WeChat.

Katanya, selepas kira-kira 20 hari berkenalan, suspek meminta bantuan kewangan kononnya untuk membiayai kos perubatan ibunya yang sakit.

"Suspek mengugut akan memutuskan hubungan sekiranya mangsa gagal membantu.

"Mangsa yang terpedaya dengan pujukan itu, kemudiannya membuat 16 kali pindahan wang ke satu akaun bank antara 25 Ogos hingga 16 November 2024 dengan nilai keseluruhan RM63,826," katanya dalam kenyataan.

Menurut Raub, mangsa seterusnya membuat permintaan untuk bertemu suspek dan keluarganya, namun suspek tidak melayan permintaan mangsa selain memberi pelbagai alasan untuk mengelak pertemuan tersebut.

Jelasnya, mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila ajakan untuk bertemu sering ditolak dengan pelbagai alasan.

"Mangsa mula curiga dan membuat carian menggunakan Google Image pada profil WeChat suspek.

Artikel Berkaitan:

"Hasilnya, mangsa mendapati gambar tersebut adalah milik seorang pelakon terkenal dari Hong Kong," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!