Hakim pertikai AGC tidak cabar kewujudan Titah Adendum

Najib mendakwa Titah Adendum itu akan membolehkanny, menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun di bawah tahanan di kediamannya. Gambar fail
Najib mendakwa Titah Adendum itu akan membolehkanny, menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun di bawah tahanan di kediamannya. Gambar fail
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Hakim Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin, mempertikaikan ketiadaan affidavit balasan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) atau kerajaan untuk mencabar permohonan rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kewujudan Titah Adendum.

Hakim, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril berkata, beliau terganggu apabila kurangnya komunikasi daripada responden untuk mempersoalkan kewujudan titah itu.

Semasa bersidang bersama Hakim-hakim, Datuk Azizah Nawawi dan Datuk Azhahari Kamal Ramli, Mohd Firuz mengutarakan isu tersebut kepada Peguam Kanan Persekutuan, Shamsol Bolhassan yang mewakili semua responden.

"Semasa prosiding lalu, kamu memberitahu panel, memerlukan masa untuk mengesahkan sama ada draf Adendum itu berasal dari pihak Istana sendiri namun, di hadapan kami hari ini, ketika saya bersiap sedia untuk mendengar rayuan ini, apa yang dilihat ialah kenyataan daripada Istana Negara, saya terganggu.

“Tiada surat affidavit dari AGC atau responden lain yang mencabar Titah Adendum ini seolah-olah kamu mengakui kewujudan titah tersebut,” katanya.

Najib, 72, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Najib mendakwa Titah Adendum itu akan membolehkannya, menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun di bawah tahanan di kediamannya.

Pada 3 Julai 2024, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan titah terbabit.

Artikel Berkaitan:

Hakim memutuskan demikian selepas mendapati semua afidavit difailkan bagi menyokong permohonan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia bersifat khabar angin.

Sebelum ini, Najib selaku perayu, meminta perintah mandamus untuk memaksa tujuh pihak selaku responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lepas.

Pihak terbabit ialah Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Pada 23 Ogos 2022, Najib dihukum meringkuk di Penjara Kajang selama 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Bagaimanapun, pada 2 Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman itu kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta, menyaksikan Najib akan dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028.

Prosiding permohonan itu ditangguhkan sementara dan dijangka bersambung pada jam 1 petang ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!