Waris kesal tak dibenar lihat proses pindah kubur

Waris berkumpul berdekatan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang selepas mendakwa tidak dibenarkan untuk melihat proses pemindahan kubur dijalankan.
Waris berkumpul berdekatan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang selepas mendakwa tidak dibenarkan untuk melihat proses pemindahan kubur dijalankan.
A
A
A

KLANG - Waris mendakwa kecewa dan kesal kerana tidak dibenarkan melihat proses penggalian dan pemindahan 90 kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di sini.

Tinjauan Sinar Harian pada hari pertama proses itu dilaksanakan mendapati, waris tidak dapat menahan sebak dan gagal mengawal emosi apabila proses pemindahan serta penggalian itu bermula sekitar jam 11 pagi, pada Isnin.

Seorang waris, Anis Azizi Abdul Khair, 31, berkata, mereka juga tidak diberikan sebarang notis mengenai prosedur operasi standard (SOP) sebelum kerja-kerja itu dilakukan.

Waris berkumpul berdekatan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang selepas mendakwa tidak dibenarkan untuk melihat proses pemindahan kubur dijalankan.
Waris berkumpul berdekatan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang selepas mendakwa tidak dibenarkan untuk melihat proses pemindahan kubur dijalankan.

"Kami tak terima apa-apa notis SOP atau makluman tentang kerja menggali kubur hari ini. Malah, kumpulan WhatsApp yang diwujudkan juga senyap, tak maklumkan apa-apa kepada kami. Kami cuma tahu daripada mulut penduduk dan poster.

"Saya sedih sebab tak dibenarkan masuk untuk tengok proses pemindahan kubur arwah ayah dengan alasan mahu menjaga aib. Saya cuma risau kalau ada tulang tertinggal dan sebagainya, bukan nak ganggu proses ini. Dulu mereka kata boleh masuk bergilir-gilir, dua orang tetapi tiba masanya, tiada langsung," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di sini pada Isnin.

Dia berkata, selepas perbincangan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) berlangsung pada Mei tahun lalu, tiada jawapan yang diberikan bagi segala pertanyaan waris, malah tiada proses undian sama ada bersetuju atau tidak dilakukan.

Sebanyak 27 daripada 90 kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di sini digali dan dipindahkan bermula sekitar jam 11 pagi, bagi memberi laluan kepada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, tanah perkuburan itu dibuka sejak 2022 dengan lapan daripada jenazah yang dikuburkan ialah bayi.

Mengulas lanjut, Anis Azizi berkata, pihaknya turut terkilan dengan tindakan kontraktor yang didakwa tidak menjaga adab ketika proses menanggalkan dan mengalihkan kepuk kubur pada Sabtu.

Waris berkumpul berdekatan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang selepas mendakwa tidak dibenarkan untuk melihat proses pemindahan kubur dijalankan.
Waris berkumpul berdekatan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang selepas mendakwa tidak dibenarkan untuk melihat proses pemindahan kubur dijalankan.

"Kami semua nampak mereka tak hormat kerana langkah kubur dan ada juga individu yang sengaja membuat provokasi... kami telah buat laporan polis," katanya.

Siti Halijah Jamal, 41, pula berkata, dia tidak rela kubur arwah bapanya dipindahkan kerana masih baharu namun menegaskan tiada sebarang perbincangan untuk mendapatkan persetujuan waris seperti yang dilaporkan sebelum ini.

"Pihak berkuasa kata yang arif sahaja terlibat dengan proses ini tetapi yang saya nampak sejak Sabtu lalu, individu bukan warganegara terlibat, malah mereka pijak kepuk kubur.

"Hari Sabtu mereka kata hanya buat proses pengecaman, tiba-tiba mereka cabut kepuk, macam mana kami tak sedih dan buat provokasi. Saya tak rela...arwah ditanam pada 2022 dan mungkin tak reput lagi, mereka sudah gali untuk pindahkan kubur arwah ayah saya," ujarnya.

Sinar Harian pada November tahun lalu melaporkan, penduduk menyuarakan bantahan menerusi memorandum tiga muka surat berikutan pemindahan 90 tapak Tanah Perkuburan Islam Selat Klang bagi memberi laluan kepada projek ECRL.

Menerusi memorandum itu, penduduk mengemukakan tuntutan antara lain meminta pihak terlibat menyediakan garis panduan pemindahan kubur di negeri ini.

Antara tuntutan itu termasuklah surat permohonan pemindahan kubur dari pihak ECRL kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), menuntut sekurang-kurangnya seorang waris dibenarkan melihat sepanjang proses pemindahan dilakukan selain kerajaan negeri perlu menanggung kos kepok dan batu nisan serta segala kerosakan lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!