Dua pendatang asing ditahan, 4,120 karton rokok tidak bercukai dirampas

Pasukan Polis Marin Wilayah Satu berjaya merampas 4,120 karton rokok tidak bercukai bernilai lebih setengah juta daripada dua lelaki warga asing dalam operasi yang dijalankan pada 3 hingga 5 Januari lalu.
Pasukan Polis Marin Wilayah Satu berjaya merampas 4,120 karton rokok tidak bercukai bernilai lebih setengah juta daripada dua lelaki warga asing dalam operasi yang dijalankan pada 3 hingga 5 Januari lalu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Pasukan Polis Marin Wilayah Satu menahan dua lelaki warga asing serta merampas 4,120 karton rokok pelbagai jenis yang tidak bercukai dengan nilai rampasan termasuk cukai sebanyak RM847,616.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, kedua-dua suspek berusia 39 dan 47 tahun itu ditahan dalam Operasi Taring Landai yang diadakan pada 3 hingga 5 Januari lalu.

Menurutnya, operasi yang dianggotai seorang pegawai dan enam anggota Unit Risikan Marin Pasukan Polis Marin Wilayah Satu itu dijalankan di sekitar kawasan Butterworth.

"Bertindak daripada maklumat yang diterima, kita telah menyerbu sebuah premis tidak bernombor di Butterworth dan berjaya menahan dua lelaki warganegara asing serta merampas 4,120 karton rokok pelbagai jenis.

"Kedua-dua suspek ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63," tambahnya.

Dalam pada itu, Rusley berkata, mengikut rekod tahun lalu, pihaknya mencatatkan 2,168 kes tangkapan dengan nilai rampasan sebanyak RM42.46 juta melibatkan pelbagai kesalahan-kesalahan.

Artikel Berkaitan:

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pasukan Polis Marin sentiasa komited dalam usaha memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai kastam dan penyeludupan barang-barang salah terutama melalui jalan laut.

"Maklumat-maklumat risikan akan diperkukuhkan dengan kerjasama pelbagai agensi dalam dan luar PDRM dalam memastikan kedaulatan undang-undang negara terpelihara," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!